Mu’iz FT juara futsal Irestcafe

Mu’iz FT juara futsal Irestcafe

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Setelah berjaya minggu lalu, kali ini Mu’iz FT tampil juara pada siri kedua Perlawanan Futsal Anjuran Irestcafe and Event Management bersempena dengan bulan Ramadan 1437 Hijrah di Gelanggang Futsal Meteora, Kampung Kapok.

Daripada lima perlawanan, Mu’iz FT memenangi empat perlawanan dan seri satu perlawanan untuk menjadi juara kumpulan dan sekali gus dinobatkan juara minggu kedua futsal berkenaan meninggalkan Pasukan Amigo Suprano di tempat kedua.

Berada di tempat ketiga, Pasukan Sebastian Watson diikuti oleh Pasukan OSP United di tempat keempat, Rooks KB di tempat kelima dan Pasukan MS FT di tempat keenam.

Ketika ditemui penganjur dari Irestcafe and Event Management, Haji Muhammad Abdul Azim bin Haji Zakeria @ Haji Aisa menegaskan perlawanan berkenaan bermula dengan hobi dan kini melebarkan sayapnya bukan sahaja dalam perlawanan futsal malah sukan bola jaring dan dodgeball.

Pasukan Mu’iz FT tampil juara pada siri kedua Perlawanan Futsal Anjuran Irestcafe and Event Management.
Pasukan Mu’iz FT tampil juara pada siri kedua Perlawanan Futsal Anjuran Irestcafe and Event Management.

“Antara tujuan kami mengadakan kejohanan ini adalah untuk mengetengahkan gaya hidup sihat pada bulan Ramadan dan sekali gus menyumbang kepada perkembangan sukan tanah air yang semakin mendapat tempat,” ujarnya.

Mengulas mengenai sambutan pertandingan berkenaan katanya, “Sambutan sangat menggalakkan dan apa yang menarik lagi jumlah mereka yang ingin bersukan pada bulan penuh keberkatan ini makin ramai.”

Menurutnya lagi, sebagai contoh jika diperhatikan di kawasan Kompleks Sukan Negara, selepas solat sunat tarawih dipenuhi orang awam yang giat membuat aktiviti kesihatan dan sukan dan menurutnya bulan yang mulia ini boleh menjadi titik permulaan untuk mengubah gaya hidup ke arah yg lebih baik seperti menjaga kesihatan tubuh badan.

Sebelum mengakhiri temu bual bersamanya, Haji Muhammad Abdul Azim menyatakan harapan supaya warga negara ini menjadikan kesihatan satu keutamaan.

ARTIKEL YANG SAMA