Mukhriz letak jawatan MB Kedah

Mukhriz letak jawatan MB Kedah

ALOR SETAR, 3 Feb – Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Dalam sidang media di Wisma Darul Aman di sini, Mukhriz berkata semalam, beliau diberitahu telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

“Saya dimaklumkan bahawa saya telah kehilangan sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah apabila undian sulit di hadapan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah diperoleh dari kesemua Anggota Dewan Undangan (Adun) Barisan Nasional dan pembangkang,” katanya.

Mukhriz turut mengumumkan akan meletakkan jawatan Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA), kerana jawatan itu datang bersekali dengan jawatan Menteri Besar.

Bagi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri dan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukannya.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir melambaikan tangan sebelum meninggalkan perkarangan Wisma Darul Aman selepas sidang media mengenai perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar. - Bernama
Datuk Seri Mukhriz Mahathir melambaikan tangan sebelum meninggalkan perkarangan Wisma Darul Aman selepas sidang media mengenai perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar. – Bernama

Mukhriz berkata beliau akan kekal dengan UMNO untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun tanpa sebarang jawatan.

Mukhriz turut melafazkan ikrar taat setia, yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Ikrar khidmat bakti berterusan juga saya lafazkan kepada seluruh Rakyat Negeri Kedah Darul Aman,” katanya.

Mukhriz, yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-11 pada 6 Mei 2013, berkata beliau telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.

“Tidak sekali-kali saya mencemar kedaulatan Kesultanan Kedah dan maruah rakyat jelata dengan apa-apa tindakan yang tidak mencerminkan ciri-ciri yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin.

“Saya menganggap peluang berkhidmat untuk rakyat Kedah di bawah naungan Sultan Kedah sebagai satu penghormatan yang amat tinggi. Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas peluang, tunjuk ajar, nasihat serta sokongan yang telah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berikan kepada saya, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan seluruh pentadbiran negeri selama ini,” katanya. – Bernama