Mukim Seria juara pertandingan lagu patriotik

Mukim Seria juara pertandingan lagu patriotik

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 4 Feb – Kumpulan dari Mukim Seria telah menjuarai Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim Peringkat Daerah Belait yang diadakan bagi menyemarakkan lagi Program Semarak Pengibaran Bendera Negara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32.

Manakala tempat kedua disandang oleh kumpulan Mukim Belait dan kumpulan dari Mukim Liang menduduki tempat ketiga dan kumpulan dari Mukim Bukit Sawat di tempat keempat.

Hadiah-hadiah kepada pemenang akan disampaikan semasa Majlis Semarak Pengibaran Bendera sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-32 yang akan berlangsung di Dewan Persidangan di sini pada 9 Februari nanti.

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai $1,000 manakala naib juara menerima $800, tempat ketiga $500 dan pemenang keempat menerima $300.

Barisan Hakim Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim peringkat Daerah Belait.
Barisan Hakim Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim peringkat Daerah Belait.
Persembahan daripada pemenang pertama Pertandingan Koir dari Mukim Seria.
Persembahan daripada pemenang pertama Pertandingan Koir dari Mukim Seria.
Persembahan daripada pemenang tempat kedua Pertandingan Koir dari Mukim Belait.
Persembahan daripada pemenang tempat kedua Pertandingan Koir dari Mukim Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan pertandingan yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini, ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

Turut hadir ialah para penghulu dan ketua-ketua kampung serta para pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Panel hakim pertandingan dibarisi oleh Awang Eddy Misuari bin Ahmad Zaini selaku ketua, Haji Abdullah bin Haji Kefli dan Awang Asyramisyani binti Kamis.

Majlis telah turut disemarakkan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Si Beracun, Hajah Kasum, Aie Rahman, Haji Yunus bin Haji Mohd Salleh dan Masita Tamil.

Program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui cawangan Penerangan Daerah Belait itu diadakan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk mukim dan kampung serta sebagai pelantar kepada penyanyi berkumpulan untuk terus berkarya di samping dapat mengisikan ruang dalam program anjuran Jabatan Penerangan.

Selain itu, ia juga diharapkan untuk memupuk semangat berdaya saing dan patriotik melalui lagu-lagu yang dipertandingkan untuk meningkatkan kesedaran bernegara melalui penghayatan berbentuk hiburan.

ARTIKEL YANG SAMA