Mula kehidupan sebagai Muslim

Mula kehidupan sebagai Muslim

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Dua orang warga tempatan berbangsa Iban memulakan kehidupan sebagai seorang Muslim setelah melafazkan dua kalimah syahadah dan ikrar pengakuan pengislaman mereka di hadapan pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman dan Bimbingan Saudara Baru, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengislaman yang berlangsung di Bangunan Darul Huda PDI itu ialah Pemangku Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

Dengan pengislaman berkenaan, Anuar anak Aladdin, 20, kini dikenali dengan nama Islam pilihannya iaitu Awang Muhammad Khairul Anuar bin abdullah Aladdin, manakala Sumur anak Aladdin, 17, memilih nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Aiman Syazwan bin Abdullah Aladdin.

Dua beradik berbangsa Iban melafazkan dua kalimah syahadah pada majlis pengislaman mereka.
Dua beradik berbangsa Iban melafazkan dua kalimah syahadah pada majlis pengislaman mereka.

Ketika ditemu bual oleh Media Permata, Awang Muhammad Khairul Anuar menjelaskan bahawa hasrat memeluk agama Islam sudah lama mereka fikirkan, dan ia tercapai dengan sokongan daripada keluarga, kawan, dan juga daripada Unit Pengislaman PDI yang mana banyak memberi kata-kata nasihat.

Setakat ini, catatan keramaian saudara baru yang memeluk agama Islam di seluruh negara dari bulan Januari hingga Disember 2015 ialah 516 orang.

Catatan keramaian saudara baru seluruh negara bagi bulan Januari hingga Julai 2016 seramai 303 orang, manakala itu bagi Daerah Brunei dan Muara bagi Januari hingga Julai seramai 154 orang.

ARTIKEL YANG SAMA