Mula kibarkan bendera

Mula kibarkan bendera

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun kini bermula dengan upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berlangsung semalam di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69 Tahun.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ,Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena sambutan berkenaan, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, timbalan ketua jabatan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pihak swasta dan para jemputan, orang ramai dan para pelancong juga tidak ketinggalan turut menyaksikan upacara tersebut.

Sejurus selepas bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Haji Emran bin Haji Kuncang, pasukan seramai 69 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Penjara dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin menyampaikan poster sambutan kepada Pegawai Daerah Tutong pada upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sabtu lalu.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin menyampaikan poster sambutan kepada Pegawai Daerah Tutong pada upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sabtu lalu.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama kumpulan koir.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama kumpulan koir.

pg04_150803_b

pg04_150803_dKemudian Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Setelah itu, penerimaan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam disempurnakan oleh tetamu kehormat untuk dinaikkan dan dikibarkan.

Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dinyanyikan oleh kumpulan koir dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei. Seterusnya, diikuti dengan nyanyian lagu “Bendera Negara” dan “Rahmat” oleh kumpulan koir tersebut.

Pada Majlis itu Yang Berhormat Pehin turut menyempurnakan penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam berukuran 1.8m x 3.7m dan poster-poster sambutan kepada pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara, pegawai Daerah Belait, pegawai Daerah Tutong dan pegawai Daerah Temburong.

Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam untuk daerah-daerah lain juga diadakan sejurus selepas upacara di Bandar Seri Begawan.

Tetamu Kehormat di Daerah Brunei dan Muara ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; di Daerah Belait ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Mohd Nor bin Haji Jeludin; Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof di Daerah Tutong; dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam di Daerah Temburong.

Di setiap daerah, tetamu-tetamu menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada para penghulu mukim daerah masing-masing.

Dengan berkibarnya Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini menandakan bermulanya untuk mengibarkan bendera di seluruh negara, yang mana bagi pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran dikehendaki menaikkan dan mengibarkan bendera peribadi masing-masing, sementara itu, orang ramai hendaklah menaikkan dan mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam.

Bendera Besar Negara Brunei Darussalam ini akan secara berterusan berkibar megah di Pusat Bandar Seri Begawan sehingga 31 Ogos 2015.

ARTIKEL YANG SAMA