Mulakan operasi mencari dan menyelamat

Mulakan operasi mencari dan menyelamat

JAKARTA, 24 Mei (AFP) – Indonesia telah memulakan operasi mencari dan menyelamat untuk bot penghijrah yang membawa penduduk Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar, kata seorang pegawai hari ini, setelah ia menggugurkan satu dasar keras yang tidak memberi mereka perlindungan.

Jakarta mencetuskan bantahan antarabangsa dengan mengusir kapal yang dipenuhi dengan penghijrah terdesak, di kalangan beribu-ribu yang terkandas di laut sejak tindakan keras Thai ke atas penyeludupan orang pada awal Mei yang memberi kesan ke atas perniagaan haram tersebut.

Bersama negara jiran Malaysia, kerajaan mengubah pendekatan pada Rabu dengan satu pengumuman mengatakan mereka akan menerima orang pelarian dengan syarat mereka ditempatkan semula atau dihantar pulang dalam tempoh satu tahun.

Sementara nelayan Indonesia telah membantu beratus-ratus penduduk Rohingya dan Bangladesh mendarat di pantai, setakat ini tidak adanya usaha menyelamat rasmi dari Jakarta.

Namun empat kapal tentera laut, dua pontoon dan sebuah pesawat udara peronda kini telah dihantar dalam satu usaha yang bermula pada petang Jumaat, beritahu jurucakap tentera Indonesia Fuad Basya kepada AFP.

“Kami telah menerima satu arahan daripada Presiden Joko Widodo untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat, sama ada di wilayah Indonesia atau perairan antarabangsa,” kata beliau.

“Kami akan menyelamat penghijrah dan membawa mereka ke pantai,” kata beliau, menambah pada petang semalam, tidak ada bot baru yang telah ditemui.

Kerajaan Malaysia mengumumkan pada Khamis bahawa tentera laut dan pengawal pantainya akan dihantar untuk operasi mencari tetapi setakat ini ia masih belum melaporkan mana-mana usaha menyelamat.

Lebih daripada 3,500 penghijrah telah berenang ke pantai atau telah diselamatkan di luar pantai Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh sejak krisis meletus pada awal bulan ini.