‘Mulianya berbagi’ masuki fasa ke-2

‘Mulianya berbagi’ masuki fasa ke-2

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Program Khidmat Masyarakat anjuran Kumpulan Belia  Syababurroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah memasuki fasa kedua bagi orang ramai menghulurkan sumbangan berupa makanan asasi untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan mangsa-mangsa kebakaran di negara ini.

Menurut jurucakap kumpulan berkenaan, fasa kedua program itu akan bermula dari 19 hingga 23 Oktober, jam 9:30 pagi hingga 4:30 petang, di mana orang ramai adalah dialu-alukan untuk tampil menghulurkan sumbangan dengan menghantarnya ke Bangunan Pentadbiran Kelas Muqaddam dan Al-Quran, Jame’ ‘Asr, Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Antara barangan yang boleh disumbangkan ialah seperti beras, tepung, gula, minyak masak, makanan dalam tin, minuman tin/botol/kordial, susu dan lampin anak damit, kicap, cuka, lada, tomato botol dan seumpamanya.

Menurut Mudim Haji Suhaili bin Haji Kalong, selaku Urusetia Penyelenggara Khidmat Masyarakat Bersama Kumpulan Belia Syababurroja dan Kumpulan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, sejak dilancarkan, kempen khidmat masyarakat yang bertemakan ‘Mulianya Berbagi’ itu, telah mendapat sambutan yang luar jangkaan.

“Malah pihak urusetia khidmat masyarakat merasa kagum atas sumbangan yang diberikan melalui sumbangan orang-orang perseorangan, persatuan, sekolah-sekolah, syarikat-syarikat, jabatan-jabatan dan lain-lain turut sama menghulurkan bantuan berupa pakaian dan makanan asasi,” katanya kepada Media Permata.

ARTIKEL YANG SAMA