Multaqa bentuk hakim berkaliber

Multaqa bentuk hakim berkaliber

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Multaqa dihasratkan dapat menjadi wadah pertemuan dan percambahan fikiran dalam kalangan individu yang sering dilantik menjadi hakim semasa Pertandingan Membaca Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan, antarabangsa atau setaraf dengannya.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh semasa ditemui pada Multaqa Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran yang diadakan di bangunan tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, berkata, “Multaqa Hakim Kebangsaan adalah bagi pertemuan ilmiah antara hakim-hakim di semua peringkat”.

Menurutnya lagi, multaqa ini disertai oleh hakim yang berpotensi dan boleh dijadikan sebagai pelapis untuk masa akan datang, di samping memberi mereka peluang untuk melihat cara penghakiman pada pelbagai peringkat yang dilaksanakan.

“Program multaqa pada masa ini difokuskan kepada hakim yang berkaliber dan boleh diketengahkan seramai 30 orang dan penghakiman di Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan dihakimi oleh 15 orang jemaah hakim,” jelasnya lagi.

Ia juga bertujuan membuat penyelarasan penghakiman di semua peringkat dan membuat pengemaskinian maklumat setiap tahun dan pada tahun ini, beliau berharap multaqa tersebut dapat dijadikan buku panduan penghakiman yang lengkap dan diguna pakai pada semua peringkat dan untuk masa akan datang.

Pertemuan ilmiah antara hakim-hakim di semua peringkat.
Pertemuan ilmiah antara hakim-hakim di semua peringkat.

Antara lain objektifnya juga adalah untuk memberikan pendedahan kepada hakim lama untuk berkecimpung dalam memberi perkongsian serta menambah ilmu dalam bidang Al-Quran seterusnya menetapkan garis pandu pemilihan hakim.

Multaqa Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran ini merupakan salah satu acara iringan bagi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi.

Di samping itu, ia juga merupakan projek rintis yang bertujuan memperkasa hakim tempatan dalam bidang Al-Quran dan penghakiman.

Multaqa kali keempat ini dikendalikan oleh Bahagian Kemajuan Syiar Islam sepenuhnya yang juga selaku Urus Setia Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewan Peringkat Kebangsaan bermula di peringkat suku akhir, peringkat separuh akhir dan peringkat akhir kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA