Mungkin dihuk...

Mungkin dihukum mati

BANGKOK, 8 Jan – Penjawat awam di Thailand yang terlibat dengan rasuah boleh dikenakan hukuman mati jika kerajaan menerima pakai cadangan Majlis Pemandu Perubahan Kebangsaan (NRSA) agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu.

Menurut cadangan itu, yang akan dibentang esok, pegawai awam yang terlibat dengan rasuah dan mengakibatkan negara kerugian lebih Baht1 bilion (RM1=Baht7.9), patut dikenakan hukuman mati.

“NRSA akan menimbang cadangan ini pada 9 Januari (esok),” kata pengerusi majlis itu, Thinnapan Nakata, kepada media tempatan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata cadangan berkenaan dijangka menjadi perbahasan hangat dalam kalangan 200 anggota majlis itu. Cadangan itu dikemukakan Jawatankuasa Pemandu Perubahan Politik NRSA yang dipengerusikan Seree Suwanpanont sebagai sebahagian daripada laporan NRSA tentang pemerhatian dan penilaiannya mengenai kuasa kerajaan.

Jawatankuasa tersebut juga, kata beliau, mengesyorkan agar pemeriksaan turut dilakukan terhadap pegawai awam sama seperti yang diamalkan bagi ahli politik.

Menurutnya, selain cadangan mengenakan hukuman mati terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan kerana mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian lebih Baht1 bilion, ia juga mengesyorkan agar mereka yang menyebabkan kerugian kurang daripada jumlah itu dikenakan hukuman penjara lima tahun.

Bagi pegawai yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian antara Baht1 juta dan Baht10 juta, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan penjara 20 tahun sekiranya didapati bersalah mengakibatkan kerugian antara Baht 10 juta dan Baht100 juta, kata beliau.

Sementara itu, majlis berkenaan juga mencadangkan agar hukuman penjara seumur hidup dikenakan terhadap me-reka yang disabitkan kesalahan kerana rasuah dan mengakibatkan kerajaan kerugian berjumlah antara Baht100 juta dan Baht1 bilion.

Thinnapan berkata sebaik sahaja cadangan itu diterima pakai NRSA, ia akan dikemukakan kepada Kabinet, Dewan Undangan Kebangsaan (NLA) dan Jawatankuasa Perangka Perlembagaan (CDC) untuk dibincangkan dengan lebih lanjut.

Cadangan mengenakan hukuman mati terhadap pegawai awam yang mengamalkan rasuah itu dikemukakan sebagai susulan kepada cadangan serupa baru-baru ini bagi ahli politik yang ‘menjual dan membeli’ kedudukan.

Cadangan dikemukakan CDC itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada parti politik.

Pengerusi CDC Meechai Ruchupan dipetik sebagai berkata cadangan hukuman mati itu bertujuan menghalang mereka yang mengamalkan rasuah daripada melibatkan diri dalam bidang politik. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA