Murid 9 tahun terselamat cubaan culik

Murid 9 tahun terselamat cubaan culik

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 16 Sept – Seorang murid sekolah rendah berjaya menyelamatkan diri daripada cubaan culik di kawasan berhampiran sebuah sekolah di Lorong Tiga, di sini, ketika dalam perjalanan ke sekolah petang kelmarin.

Semasa menceritakan mengenai kejadian itu kepada Media Permata, hari ini, budak lelaki berusia 9 tahun itu berkata semasa dia berjalan menuju ke sekolahnya di kawasan Lorong Tiga Seria kira-kira pukul 1:15 petang, seorang lelaki yang memandu kereta salon warna merah mendekatinya dan mengajak menaiki keretanya. “Apabila saya menolak pelawaannya, lelaki itu keluar daripada kereta, kemudian memegang badan dan mulai menolak saya masuk ke dalam kereta.

“Saya menjerit dan menendangnya,” kata mangsa, yang turut mendakwa bahawa ini merupakan kali kedua lelaki itu cuba mendekatinya.

Menurut mangsa, dia berjaya melepaskan diri dengan menendang pintu kereta sebelum ditutup, kemudian menendang kelangkang lelaki itu sehingga rebah ke tanah.

“Saya lalu berlari menuju balik ke rumah yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari sekolah,” tambahnya.

Menurutnya lagi, lelaki yang cuba membawanya lari itu berkulit gelap dalam pertengahan umur dan berbadan besar, dan juga pernah mendekatinya tiga bulan lalu dengan menawarkan wang $10 untuk mengajaknya masuk ke dalam kereta.

Pihak polis telah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu melalui Balai Polis Seria dan pada masa ini siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, ayah murid berkenaan semasa ditemui, telah melahirkan rasa bimbang atas keselamatan anak lelakinya itu, dan hari ini, dia telah menghantar anaknya itu ke sekolah, dan tidak mahu membiarkan dia berjalan kaki lagi.

“Saya pernah memberi peringatan kepada anak saya supaya mengelakkan daripada bercakap dengan orang yang tidak dikenali, setelah dia memberitahu akan tawaran lelaki yang hendak memberinya wang, beberapa bulan lalu, bagaimanapun saya tidak pernah menyangka lelaki itu kembali lagi dan berusaha untuk membawa lari anak saya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu supaya pihak berkenaan meningkatkan keselamatan di kawasan persekolahan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sekolah, yang kebanyakannya berjalan kaki ke sekolah setiap hari.

Manakala itu, guru besar sekolah berkenaan pula menyatakan pihak sekolah kini merancang untuk mengetatkan keselamatan dengan menugaskan pengawas membuat rondaan di kawasan laluan berjalan kaki murid-murid.

“Kira-kira 80 peratus daripada murid-murid di sekolah ini berjalan kaki dari rumah mereka, dan kami akan memastikan keselamatan mereka bagi mengelakkan kejadian itu berulang lagi,” jelasnya.

Kejadian cubaan culik murid lelaki itu telah tersebar luas melalui media sosial WhatsApp, kelmarin, yang turut mengingatkan supaya ibu bapa sentiasa berhati-hati berikutan kejadian itu dan memastikan anak-anak mereka dijemput balik dari sekolah tepat pada masanya serta tidak membiarkan murid-murid terpaksa menunggu sehingga keadaan sunyi di persekitaran sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA