Murid cedera akibat lantai kelas reput

Murid cedera akibat lantai kelas reput

MIRI, 28 Julai – Seorang murid perempuan Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Sayed Othman di sini cedera akibat lantai papan bilik darjah reput.

Pengerusi Persatuan Ibu-Bapa (PIBG) SK Sayed Othman, Rushdi Abdul Gani berkata murid tersebut terpijak lantai yang reput sehingga kakinya tersepit. “Kaki kirinya mengalami calar sehingga lutut,” katanya kepada Bernama. Gambar kejadian itu turut menjadi viral di media sosial. Beliau berharap Kementerian Pendidikan menyegerakan peruntukan yang dijanjikan sejak 2012 sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih blok kayu sekolah berkenaan yang sudah berusia 54 tahun.

“Blok kayu itu menempatkan murid tahun 1, 2 dan 3 dengan keadaan bangunannya semakin uzur akibat dimakan anai-anai,” kata Rushdi. Beliau berkata PIBG mempunyai inisiatif untuk membaiki sekolah itu yang 90 peratus uzur tahun lepas dengan peruntukkan lebih RM1,000, namun masih belum mencukupi. – Bernama