Murid cemerlang UPSR meninggal dunia akibat kanser

Murid cemerlang UPSR meninggal dunia akibat kanser

PASIR MAS, 21 Nov – Wan Adibah Farhani Wan Mazlan, murid cemerlang yang memperoleh ‘A’ dalam kesemua enam mata pelajaran pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan minggu lalu, meninggal dunia hari ini, di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, akibat kanser.

Menurut bapanya, Wan Mazlan Wan Hassan, 50, anak tunggal dan bongsunya itu meninggal dunia pada 4 pagi tadi.

Wan Mazlan yang juga Penolong Kanan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini, berkata anaknya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang.

Wan Adibah Farhani mencatat keputusan cemerlang walaupun dalam keadaan menahan kesakitan ketika menduduki peperiksaan UPSR di hospital berkenaan, sekali gus menjulang nama sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2, di sini.

“Walaupun sedih dengan pemergiannya, saya tetap reda kerana menganggapnya sebagai satu dugaan daripada Allah SWT. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan pengebumian hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lemal di sini.

Allahyarhamah Wan Adibah Farhani dimasukkan ke HUSM sejak September lalu apabila mengalami penyusutan berat badan secara mendadak serta hilang selera makan. – Bernama