Murid-murid T...

Murid-murid TASKA YSHHB mulakan pembelajaran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai 160 murid memulakan pembelajaran mereka di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi Kelas Taman Asuhan (KG) 1, hari ini.

Secara keseluruhannya, jumlah kemasukan murid Kelas Taman Asuhan 1 hingga 3 bagi tahun ini ialah seramai 579 orang murid.

Sempena kemasukan murid Kelas KG 1 itu, TASKA mengadakan sesi orientasi selama tiga hari bermula Sabtu lalu bagi membiasakan diri sebelum memulakan persekolahan mereka pada hari ini.

Menurut kenyataan YSHHB, TASKA menggunakan pendekatan ‘Play-Base Learning’ untuk memberikan hasil yang berkesan kepada pembelajaran para murid dengan mengambil kira sifat kanak-kanak yang suka bermain.

Pendekatan ini akan dapat menanamkan ciri-ciri seperti kerja berpasukan, sosialisasi, kepimpinan, berfikir secara kreatif, imaginatif serta berkomunikasi dengan orang lain untuk menyelesaikan masalah.

Murid-murid TASKA belajar sambil bermain.
Murid-murid TASKA belajar sambil bermain.

Ini, menurut YSHHB, secara tidak langsung memberikan pengalaman pembelajaran yang holistik dan ia dilaksanakan secara berfasa mengikut peringkat para murid TASKA.

Sepanjang pembelajaran mereka, para murid akan didedahkan kepada pelbagai bidang pembelajaran dan bahasa. Bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Inggeris, kecuali bagi mata pelajaran agama dan Bahasa Melayu.

Literasi dan numerasi disepadukan dalam pengajaran Bahasa Melayu manakala itu, Bahasa Arab pula disepadukan dalam kelas ilmu agama Islam (Ugama), begitu juga dengan Melayu Islam Beraja (MIB) yang diterapkan dalam semua pelajaran dan aktiviti, selain itu, mereka juga diajar bahasa asas Mandarin.

Di samping itu, para murid TASKA juga mengikuti Kelas Muzik, Komputer, perpustakaan, berenang dan pergerakan fizikal serta pergerakan melalui tarian dan permainan. Pembelajaran di TASKA ini juga menerapkan asuhan budi seperti bacaan surah-surah pendek di dalam Al-Quran, doa-doa, tatacara berwuduk, solat dan banyak lagi.