Murid pedalaman S’wak teruja terima kad raya Baginda Sultan

Murid pedalaman S’wak teruja terima kad raya Baginda Sultan

Gambar ihsan Borneo Dihati

 

MIRI, 16 Ogos – Murid-murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Kuala Pelugau yang terletak di pedalaman sebuah daerah kecil Selangau, Sarawak tidak menyangka sama sekali Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan membalas kembali kad ucapan Hari Raya yang mereka kirim kehadapan majlis Baginda Sultan pada bulan Ramadan yang lalu.

Guru Besar sekolah berkenaan, Sangau anak Ruma ketika dihubungi Media Permata berkata, murid-murid tersebut begitu gembira dan amat terharu atas kesudian Baginda Sultan itu.

Sementara itu, guru yang mengajar murid-murid kelas tersebut, Abdul Rahim bin Yahya pula berkata, semasa di dalam kelas, murid-murid diajar bagaimana untuk membuat kad ucapan Hari Raya. Kebetulan, pada masa tersebut bulan puasa.

Murid-murid SK Kuala Pelugau bersama kad Hari Raya daripada Baginda Sultan.
Murid-murid SK Kuala Pelugau bersama kad Hari Raya daripada Baginda Sultan.

pg03_160817_b

Mereka kemudian sekadar mencuba nasib untuk mengirimkan kad ucapan tersebut kehadapan majlis Baginda Sultan dan tidak menyangka sama sekali Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan membalas kembali kad-kad Hari Raya yang mereka kirimkan itu dengan kad yang lebih cantik dan bertaip nama penuh setiap murid tersebut.

Ternyata, kad yang berwarna kuning keemasan itu amat bermakna kepada murid-murid ini sehingga ada murid yang menangis terharu apabila menerima kad tersebut.

Murid-murid tersebut yang rata-ratanya berlatar belakangkan sosioekonomi yang rendah ini berazam akan belajar bersungguh-sungguh dan berharap agar dapat berjumpa secara bersemuka satu hari nanti dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menyembahkan ucapan menjunjung kasih yang tidak terhingga atas kad ucapan raya yang amat bernilai dan bermakna dalam hidup mereka.