Murid pra 2016 jalani orientasi

Murid pra 2016 jalani orientasi

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 27 Nov – Sebagai persiapan dan persediaan guru-guru menerima murid-murid pra baru pada tahun depan, beberapa buah sekolah rendah di daerah ini telah mengendalikan Orientasi Pra Sekolah 2016 mengikut jadual. Kira-kira 123 orang murid pra telah mendaftar di 10 buah sekolah rendah di daerah ini.

Dalam tinjauan ke Sekolah Rendah Puni, Temburong, seramai 17 orang murid telah mendaftar dan sedang menjalani sesi suai kenal yang diadakan selama dua hari.

Suasana hambar pada penghujung penggal persekolahan dimeriahkan dengan gelagat kanak-kanak comel yang sedang berinteraksi dengan guru-guru dan rakan baru mereka.

Mereka kelihatan sangat teruja dan bersemangat walaupun sesi pembelajaran penggal pertama belum lagi bermula apabila diperkenalkan dengan bilik kelas, dewan, kantin, tandas dan bilik-bilik sumber yang lain.

Salah seorang guru sekolah tersebut yang mengendalikan sesi suai kenal menyatakan, terdapat perkembangan kanak-kanak dari sudut penerimaan mereka dengan suasana hari pertama pra sekolah tahun ini.

Guru tadika bergambar ramai bersama sebilangan murid pra baru tahun 2016.
Guru tadika bergambar ramai bersama sebilangan murid pra baru tahun 2016.

Tiada lagi senario kanak-kanak menangis apabila berjauhan dengan ibu bapa mereka, katanya, ini mungkin kerana sebahagian kanak-kanak ini sudah berpengalaman di peringkat sekolah pra-tadika atau kindergarten mahupun pusat penjagaan kanak-kanak.

Malah melalui sesi percubaan selama dua hari itu, guru-guru telah dapat mengenal pasti keupayaan bakal murid-murid mereka dan ia akan memudahkan permulaan sekolah pada tahun baru nanti.

Dalam sesi suai kenal itu, mereka didedahkan dengan ujian menulis, melukis, mewarna, menyanyi dan interaksi dengan kawan-kawan dan guru, termasuk sepasang kembar lelaki dan seorang kanak-kanak kurang upaya yang dikendalikan oleh Unit Pendidikan Khas sekolah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA