Murid SK Gong...

Murid SK Gong Badak guna alat perakam waktu

KUALA NERUS – Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKBG) di sini muncul sekolah pertama di Terengganu yang menggunakan alat perakam waktu bagi mengatasi masalah kelewatan kehadiran murid ke sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKKBG, Zamzaini Zolkeffi berkata sistem mesin perakam waktu itu merupakan inisiatif gabungan PIBG dan pihak sekolah.

Beliau berkata sistem itu akan menjadi petunjuk prestasi murid sekolah dan pada masa sama melatih murid-murid lebih berdisiplin serta menepati masa untuk ke sekolah.

“Kita ada menerima rungutan daripada pihak sekolah berhubung kelewatan murid-murid ke sekolah, jadi bagi mengelakkan perkara ini beterusan dan menjadi bebanan kepada pihak sekolah, kita mengambil langkah awal seperti ini.

“Kos sebanyak RM6,000 untuk melaksanakan sistem yang lebih efektif ini digunakan untuk pelajar tahun satu hingga enam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penggunaan Mesin Perakam Waktu sekolah itu yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Guru Disiplin Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak Laili Omar (kiri) membantu murid sekolah itu menggunakan mesin perakam waktu untuk rekod kehadiran ke sekolah. – Bernama
Guru Disiplin Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak Laili Omar (kiri) membantu murid sekolah itu menggunakan mesin perakam waktu untuk rekod kehadiran ke sekolah. – Bernama
Seorang murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak menggunakan mesin perakam waktu sebagai rekod kehadiran selepas Penggunaan Mesin Perakam Waktu itu dilancarkan di sekolah berkenaan. – Bernama
Seorang murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak menggunakan mesin perakam waktu sebagai rekod kehadiran selepas Penggunaan Mesin Perakam Waktu itu dilancarkan di sekolah berkenaan. – Bernama

Shafruddin Ali yang menyambut baik penggunaan sistem itu dalam pada itu berkata langkah itu sangat efisien dalam melatih murid-murid untuk mengurus masa ke sekolah seperti yang dipraktikkan di negara-negara maju.

“Mungkin sekolah lain dapat mengikut contoh seperti ini dengan persetujuan pihak PIBG sekolah masing-masing,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SKKBG, Zam Zam Mohamad berkata pihak sekolah menyasarkan kelewatan murid ke sekolah dapat dikurangkan kepada tiga peratus daripada 10 peratus sebelum ini selepas sistem itu diperkenalkan.

Katanya walaupun masalah kelewatan murid-murid ke sekolah tidak serius, namun langkah awal membendung masalah kelewatan mereka ke sekolah perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan mereka dapat mengikuti aktiviti yang dijalankan pihak sekolah untuk mereka.

“Sesi persekolahan bermula pukul 7.45 pagi sehingga 1.15 petang namun pada pukul 7.30 pagi murid-murid perlu berada disekolah untuk program bacaan yasin yang diadakan setiap pagi.

“Rekod kehadiran mereka kita akan bandingan setiap bulan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi murid untuk mencapai waktu kehadiran yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya sekolah berkenaan mempuyai seramai 871 orang murid termasuk prasekolah dan 61 orang guru. – Bernama