Murid tadika fahami peranan pasukan polis

Murid tadika fahami peranan pasukan polis

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Mei – Lebih 40 murid Kelas Tadika Sekolah Chung Ching yang disertai tujuh guru kelas mereka, hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, dekat sini.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kuala Belait, Penolong ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin, dan Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli.

Dalam lawatan berkenaan, rombongan murid berkenaan mendengarkan taklimat mengenai peranan dan tugas-tugas serta tanggungjawab Pasukan Polis Diraja Brunei selain turut diberikan penerangan ringkas mengenai pencegahan jenayah termasuk mengenai akta kesalahan jenayah dan lalu lintas serta hukumannya.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Unit Perhubungan Awam Polis Panaga, Sarjan Mejar Mohd Suzaini bin Abdul Karim.

Sejurus selepas mendengarkan taklimat, rombongan murid tersebut juga berpeluang menyaksikan pameran yang disediakan oleh beberapa unit Daerah Polis Belait termasuklah daripada Unit Skuad Tindakan Segera, Unit Penyiasatan Jenayah Panaga, Unit Penderaan Kanak-kanak dan Wanita, Unit Polis Simpanan RU ‘A’ Kompani, Unit Jabatan dan Kawalan Lalu Lintas Batu Tiga Kuala Belait serta Unit Bantuan Pengurusan Tempat Kejadian Jenayah, yang mana kesemua pameran telah diadakan di Dewan Serba Guna RU ‘A’ Kompeni Panaga.

Lebih 60 pelajar Kelas Tadika Sekolah Chung Ching Seria membuat lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait.
Lebih 60 pelajar Kelas Tadika Sekolah Chung Ching Seria membuat lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Daerah Polis Belait.
Taklimat telah disampaikan oleh Sarjan Mejar Mohd Suzaini.
Taklimat telah disampaikan oleh Sarjan Mejar Mohd Suzaini.

Lawatan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan Sekolah Chung Ching, setiap kali kemasukan murid-murid Kelas Tadika baru, yang mana mereka membawa murid-murid baru membuat lawatan di luar daripada kawasan sekolah untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman murid-murid berkenaan.

Sarjan Mejar Mohd Suzaini memberitahu, adalah penting untuk kalangan pelajar-pelajar mempunyai pengetahuan dan kefahaman mengenai peranan dan tugas-tugas Pasukan Polis Diraja Brunei, serta mengetahui tentang jenayah-jenayah yang menyalahi undang-undang dan peraturan di negara ini.

Sementara itu, salah seorang guru pengiring rombongan murid itu pula berkata, peluang melawat dan menyaksikan pameran memang banyak memberikan kesan yang positif kepada para pelajar, terutama sekali aktiviti tersebut membuatkan para pelajar terutama yang masih di kelas Tadika, merasa sangat seronok kerana sebelum ini, belum pernah berpeluang seperti itu, dan setiba di sekolah para pelajar akan diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman menerusi lawatan mereka.