Murid tadika seronok lawat balai bomba

Murid tadika seronok lawat balai bomba

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 14 Okt – Bagi seramai 36 orang murid Tadika Tiga Sekolah St John Kuala Belait, yang sebelum ini hanya mengenali bunyi siren bomba, peluang membuat lawatan sambil belajar ke Balai Bomba Kuala Belait merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

Dalam lawatan itu, rombongan murid berusia lima tahun termasuk dua orang guru kelas mereka itu, mendapat pengetahuan dan kefahaman lebih mendalam mengenai bomba termasuk jantera, peralatan, tugas bomba dan sebagainya.

Salah seorang guru kelas mereka, Dayang Sabrina Abdullah memberitahu Media Permata, murid-muridnya sering terdengar bunyi siren bomba yang melintas sama ada di sekolah atau kawasan rumah mereka, dan kerap kali juga mereka itu, terhenti daripada melakukan sesuatu kerana mahu melihat kenderaan bomba yang melintas.

“Minat mereka agak mendalam, selain timbul rasa ingin tahu mengenai tugas bomba, maka dengan itu, selain daripada membawa mereka melawat ke tempat lain bagi program pembelajaran di luar kelas, kami turut tidak ketinggalan membawa mereka melawat ke balai bomba.

Pegawai Perhubungan Awam Operasi B Dayang Azalina menunjukkan kepada murid-murid antara pakaian seragam yang digunakan oleh anggota bomba semasa bertugas.
Pegawai Perhubungan Awam Operasi B Dayang Azalina menunjukkan kepada murid-murid antara pakaian seragam yang digunakan oleh anggota bomba semasa bertugas.
Lebih 30 murid-murid Tadika Tiga Sekolah St John melawat ke Balai Bomba Kuala Belait.
Lebih 30 murid-murid Tadika Tiga Sekolah St John melawat ke Balai Bomba Kuala Belait.

“Di sini mereka berpeluang menyaksikan secara lebih dekat anggota bomba dengan pakaian seragam mereka, selain berpeluang menaiki kenderaan bomba, serta menyaksikan demo memadam api menggunakan air dan sebagainya,” kata ujarnya.

Semasa lawatan, murid-murid turut diperkenalkan kepada alat-alat bomba yang digunakan seperti untuk menangkap ular dan sebagainya di samping mendengar taklimat ringkas mengenainya yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Operasi B Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dayang Azalina binti Haji Adnan.

Lawatan itu merupakan yang pertama kali diadakan bagi murid tadika Sekolah St John, selain sebelum ini pernah melawat Balai Polis Kuala Belait, Pejabat Pos Kuala Belait, serta tempat-tempat komersial seperti SugarBun dan sebagainya.

Program lawatan itu merupakan salah satu kegiatan pembelajaran di luar sekolah murid-murid tadika di sekolah berkenaan, dengan tujuan untuk mendedahkan mereka kepada lebih pengetahuan dan pengalaman serta mampu berfikir secara kreatif dan inovatif dari usia kecil lagi.

“Selepas setiap lawatan, murid-murid akan diberikan sesi soal jawab di dalam kelas, seperti menceritakan apa yang mereka lihat, dan menulis karangan ringkas mengenai pengalaman dan perasaan mereka semasa lawatan di satu-satu tempat,” jelas Dayang Sabrina.

ARTIKEL YANG SAMA