Murid Tadika St. James terima sijil tamat pengajian

Murid Tadika St. James terima sijil tamat pengajian

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Nov – Hampir 40 orang murid Tadika Sekolah St James telah menerima sijil tamat pengajian pada Majlis Pengijazahan Murid Tadika Tahun 2016 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Penganugerahan Istimewa kepada seramai 20 orang pelajar terbaik dalam bacaan, tulisan, lukisan, kedatangan, muzik, suka membantu, bersopan santun, peramah, tepat masa kehadiran dan murid yang paling pemedulian.

Selain itu, Sijil Penganugerahan Pelajar Cemerlang pula telah disampaikan kepada enam orang murid Tadika bagi kategori tempat pertama, tempat kedua dan tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil berkenaan ialah pegawai Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Hajah Herni Hardi binti Haji Awang Bidin.

Pengetua Sekolah St James, Haji Mohd Masa Masdi bin Mohd Sa’idun dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, kejayaan yang dicapai oleh murid-murid merupakan usaha tekun daripada tenaga pengajar dan juga pengawas Tadika sekolah itu, yang juga telah begitu tabah menghadapi berbagai-bagai karenah kanak-kanak dengan memberikan mereka sepenuh kasih sayang, selain memberikan pendidikan tentang pemedulian dan perasaan mengasihi, serta hasil daripada suasana keharmonian yang dirasakan oleh para pelajar turut memberikan kesan positif ke atas pembelajaran mereka di sekolah.

Salah seorang murid KG 3 Green, Awang Muhammad Qayyum Mikhail bin Haji Norahmadi, semasa menerima sijil.
Salah seorang murid KG 3 Green, Awang Muhammad Qayyum Mikhail bin Haji Norahmadi, semasa menerima sijil.

“Kehidupan bukan hanya sekadar untuk belajar membaca dan menulis, walaupun itu semua adalah penting tetapi lebih penting lagi rasa kasih sayang dan rasa persahabatan yang tulen dan terjalin,” katanya.

Beliau turut menyampaikan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada ibu bapa murid-murid yang telah banyak meluangkan masa dan tenaga dalam memberikan keperluan dan kepentingan demi kejayaan masa depan anak-anak mereka, kerana, tambahnya, adalah perlu untuk kanak-kanak dibekalkan dengan kemahiran hidup sebagai persiapan jangka masa panjang sehingga mereka menjadi dewasa kelak.

Untuk menambah ceriakan lagi suasana majlis, berbagai-bagai persembahan nyanyian dan tarian turut dimuatkan pada majlis tersebut, antaranya persembahan tarian daripada murid-murid KG 2 Green dan Blue, diteruskan lagi dengan penampilan comel murid-murid KG 1 Blue dan Green yang turut mempersembahkan tarian ‘A Go Go’ mereka.

Majlis telah diakhiri dengan persembahan nyanyian yang disertai oleh semua murid Tadika sekolah tersebut dan diikuti dengan sesi bergambar ramai bagi merakamkan kenangan murid-murid, tenaga pengajar dan ibu bapa mereka serta kakitangan sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA