Murid YSHHB sertai ‘Kids Athletics’

Murid YSHHB sertai ‘Kids Athletics’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Murid-murid Tahun 1 dan 2, Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) menyahut cabaran dalam acara sukan yang berkonsepkan ‘Kids Athletics’ sambil mengenakan pakaian mengikut pasukan masing-masing.

Turut berangkat menyertai acara sukan itu, cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah binti Pengiran Anak Khairul Khalil yang mewakili Pasukan Daerah Tutong, serta cucunda-cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Hadir sama bagi memberikan sokongan kepada para murid pada acara sukan yang berlangsung di Dewan Serba Guna dan Padang Sekolah Menengah YSHHB itu ialah Pemangku Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali, para guru, pelajar dan ibu bapa murid-murid.

Dalam aktiviti tersebut, lima acara sukan telah dipertandingkan iaitu perlumbaan halangan, merejam lembing, skuad lompat jauh, memilih dan meletakkan bola dalam perlumbaan serta lontaran sasaran.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul  Bolqiah bergambar dengan pasukan yang diwakili.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah bergambar dengan pasukan yang diwakili.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah ketika menyertai salah satu acara sukan yang dipertandingkan.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-Ul Bolqiah ketika menyertai salah satu acara sukan yang dipertandingkan.

Tahun ini, sebanyak 80 pingat emas, perak dan gangsa ditawarkan di mana jumlah kutipan pingat daripada lima acara sukan itu akan dimasukkan dalam jumlah kutipan bagi rumah sukan yang diwakili dan pemenang akan diumumkan pada majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan pada tarikh kemudian.

Sukan tersebut diwakili oleh 20 murid bagi setiap pasukan yang terdiri daripada pasukan Daerah Brunei-Muara, Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong.

Antara lain tujuan sukan ini adalah untuk membina kecergasan fizikal dan mental pelajar di samping mencungkil bakat pelajar dalam bidang sukan, meningkatkan kerjasama dalam kumpulan seterusnya meningkatkan keyakinan diri pelajar selain mengeratkan silaturahim antara pelajar, guru-guru, ibu bapa dan penjaga murid.

Sebelum acara sukan dirasmikan, murid-murid berkenaan menyertai sesi memanaskan badan sebagai memeriahkan lagi acara berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA