Murray baharui persaingan dengan Del Potro

Murray baharui persaingan dengan Del Potro

GLASGOW, 15 Sept – Andy Murray akan memperbaharui persaingannya dengan Juan Martin del Potro apabila membantu Great Britain berdepan Argentina bagi merebut aksi perlawanan akhir kedua berturut-turut dalam saingan Piala Davis.

Bintang tenis Scotland itu mengetuai kejayaan Britain memenangi Piala Davis, musim lalu dengan menewaskan Belgium di final, sekali gus menamatkan kemarau tanpa gelaran selama 79 tahun.

Pemain berusia 29 tahun itu masih berada di prestasi terbaiknya dengan menjuarai gelaran Wimbledon keduanya, pingat emas Olimpik di Rio, Brazil dan melangkah ke final Terbuka Perancis, musim ini.

Kapten Britain, Leon Smith dijadual bertemu Argentina di Arena Emirates di Glasgow, minggu ini selaku pasukan pilihan untuk layak ke final bagi menempah tempat ke final di mana mereka bakal bertemu sama ada Perancis atau Croatia.

Perlawanan yang menggunakan format lima terbaik menerusi dua perlawanan perseorangan bermula esok, diikuti dua perlawanan beregu pada Sabtu dan perseorangan pada Ahad.

Andy Murray sekali lagi akan berdepan Juan Martin del Potro dalam saingan Piala Davis di antara Great Britain dan Argentina. – AP
Andy Murray sekali lagi akan berdepan Juan Martin del Potro dalam saingan Piala Davis di antara Great Britain dan Argentina. – AP

Murray menuju ke kejohanan selepas mengharungi kekecewaan tersingkir di pusingan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat oleh pemain Jepun, Kei Nishikori di New York minggu lalu, namun pemain nombor dua dunia itu berkata dia akan berusaha berhabis-habisan bagi membantu Britain mengekalkan kejuaraan.

“Saya mengambil rehat selama beberapa hari selepas New York dan kembali ke sini. Saya sudah berlatih sejak Ahad. Saya mendapat sedikit rehat, selepas saya berakhir di sini jadi satu lagi gesaan hebat untuk musim ini,” kata Murray.

“Pada penghujung tahun ini, Piala Davis kepada kami semua ialah keutamaan namun saya tidak fikir pada awal tahun ini kami menjangkakan untuk memenanginya.

“Namun apabila kamu semakin dekat dan dekat. Kami mahu segala peluang dan mahu melakukannya sekali lagi tahun ini jika tidak mustahil. Ia pastinya sukar dan saya mahu menang kesemua kejohanan yang saya mampu.” – AFP