Murray berpeluang menangi personaliti sukan terbaik Britain

Murray berpeluang menangi personaliti sukan terbaik Britain

LONDON, 29 Nov – Andy Murray yang menjuarai Wimbledon dan pingat emas Olimpik serta menamatkan tahun ini di kedudukan nombor satu dunia tenis berpeluang melengkapkan tahun 2016 dengan penuh sensasi jika memenangi anugerah Personaliti Sukan Terbaik Britain buat kali ketiga.

Murray, 29, yang pernah memenangi anugerah sama pada 2013 dan 2016 tersenarai daripada 16 calon yang didedahkan semalam dengan kebanyakan calon adalah pemenang pingat emas di temasya Olimpik dan Paralimpik, Rio, Brazil pada tahun ini.

Selain Murray, dua pemain bola sepak turut tersenarai iaitu penyerang Leicester City, Jamie Vardy dan bintang Real Madrid, Gareth Bale. Bintang golf, Danny Willett turut tersenarai atas kejayaannya menjuarai Masters.

Vardy disenarai atas kejayaan Leicester mencipta sejarah ‘dongeng’ bola sepak Inggeris dengan memenangi Liga Perdana, musim lalu manakala Bale menjadi salah satu tonggak Real menjulang trofi Liga Juara-Juara selain membantu Wales mara ke separuh akhir Euro 2016 di Perancis.

Ketika Murray tampil selaku calon pilihan, atlet yang dijangka mampu melakukan kejutan ialah ekuestrian, Nick Skelton yang memenangi pingat emas di Olimpik pada usia 58 tahun.

Murray ketika memenangi Jelajah Dunia ATP Final baru-baru ini. – AP
Murray ketika memenangi Jelajah Dunia ATP Final baru-baru ini. – AP

Selain itu, legenda Paralimpik, Sarah Storey yang dianggap atlet para paling berjaya buat Britain turut tersenarai atas kejayaannya mengumpul 14 pingat di pentas tertinggi itu setakat ini dalam dua acara, renang dan berbasikal.

Pemenang-pemenang bagi setiap kategori seperti berpasukan akan didedahkan dalam satu gala di Birmingham pada 18 Disember ini.

Antara yang turut tercalon ialah Nicola Adams (Tinju), Gareth Bale (Bola Sepak), Alistair Brownlee (Triathlon), Sophie Christiansen (Ekuestrian), Kadeena Cox (Olahraga/Berbasikal), Mo Farah (Olahraga), Jason Kenny (Berbasikal), Laura Kenny (Berbasikal), Andy Murray (Tenis), Adam Peaty (Renang), Kate Richardson-Walsh (Hoki), Nick Skelton (Ekuestrian), Dame Sarah Storey (Berbasikal), Jamie Vardy (Bola Sepak), Max Whitlock (Gimnastik) dan Danny Willett (Golf). – AFP

ARTIKEL YANG SAMA