Murray, Djokovic Berentap Lagi

Murray, Djokovic Berentap Lagi

MELBOURNE, 29 Jan – Andy Murray bangkit untuk memenangi perlawanan lima set yang mendebarkan menentang Milos Raonic untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia untuk berdepan Novak Djokovic Ahad ini.

Naib juara empat kali itu mara ke perlawanan akhir Australia kelimanya selepas melepasi tentangan hebat pemain Kanada itu dengan keputusan 4-6, 7-5, 6-7(4/7), 6-4, 6-2 dalam masa empat jam, tiga minit di Arena Rod Laver.

Selepas menyamai perlawanan dua set sama, Murray mematahkan servis Raonic pada awal permainan set terakhir dan membuatkan Raonic kecewa besar sehingga menghempas raketnya.

Murray mula tunjuk taring untuk berada 4-0 di depan sebelum menyudahkan perlawanan dengan pukulan winner untuk membuat pertemuan dengan pemain nombor satu dunia.

“Saya mula bermain dengan baik dan boleh membaca servisnya dan itulah kuncinya,” Murray, yang ditewaskan oleh Djokovic tahun lepas, berkata ketika ditemu bual di tepi gelanggang.

Djokovic dan Murray akan berentap lagi pada perlawanan akhir Terbuka Australia. - Reuters
Djokovic dan Murray akan berentap lagi pada perlawanan akhir Terbuka Australia. – Reuters

“Dia jelas kelihatan kurang cergas pada set kelima,” tambah Murray mengenai kecederaan Raonic.

“Jelas saya amat bernasib baik untuk itu, namun anda perlu fokus terhadap permainan sendiri.”

Perjalanan Murray ke perlawanan akhir semuanya berakhir dengan patah hati, namun dia akan membuatkan perkara itu sebagai semangat untuk mengatasi permainan kencang Raonic.

Raonic yang merupakan antara yang mempunyai servis terbaik menentang pembalas pukulan terbaik menjanjikan pertembungan yang hebat namun tidak ramai menyangka dia berupaya untuk mematahkan servis lawannya pada permainan pembukaan.

Pemain berusia 25 tahun itu menyelamatkan tiga mata break pada permainan seterusnya kemudian memenangi set tersebut dengan servis kencang ke petak T gelanggang.

Terlepas peluang break pada 1-0 dan 3-2 di set kedua, Murray perlu menunggu kesempatan dan kemudian mendapatnya untuk berada di depan 6-5.

Pemain Kanada itu mengambil peluang servis dan voli namun kemahiran membalas pukulan Murray nampak berhasil untuk mengambil set tersebut.

Set ketiga pula menunjukkan kekuatan kedua-dua hampir sama apabila perlu ke pusingan tiebreak yang kemudian dimenangi oleh Raonic.

Sementara pada set keempat, Andy Murray berjaya memenangi set tersebut dengan keputusan 6-4 untuk menganjakkan perlawanan tersebut menjadi lima set.

Raonic mula menunjukkan kelemahan pada set kelima apabila Andy Murray berjaya mematahkan servis sebanyak dua kali dan kemudian menyudahkan perlawanan tersebut dengan mata 6-2. – Reuters