Murray juara Terbuka Munich

Murray juara Terbuka Munich

MUNICH, 5 Mei (AFP) – Jaguh tenis Britain, Andy Murray memenangi gelaran sulungnya di gelanggang tanah liat dengan menjuarai ATP Terbuka Munich, semalam.

Pemain nombor tiga dunia dan pilihan utama kejohanan itu menewaskan pemain tuan rumah, Philipp Kohlschreiber dalam pertembungan sukar tiga set yang turut tertangguh akibat hujan.

Murray memerlukan lebih kurang tiga jam sebelum mencatat kemenangan 7-6 (7/4), 5-7, 7-6(7/4) ke atas Kohlschrieber yang menghuni ranking ke-24 dunia dan bertarung berhabis-habisan di depan penyokong sendiri.

Kejuaraan di Munich adalah gelaran ke-32 sepanjang karier Murray namun ia kemenangan pertamanya di gelanggang tanah liat yang dilihat persiapan terbaik menjelang Grand Slam Terbuka Perancis, hujung bulan ini.

Hujan lebat, semalam memaksa pertarungan final hanya berlangsung selama 23 minit sebelum ditangguhkan hari ini. Pertarungan kedua-duanya jelas sengit yang mengimbau perlawanan epik lima set pada pusingan ketika Terbuka Perancis, tahun lalu yang memihak kepada Murray.

Andy Murray (kanan) seluar kulit ‘Lederhose’ Bavaria selepas menjuarai ATP Terbuka Munich semalam. – AFP
Andy Murray (kanan) seluar kulit ‘Lederhose’ Bavaria selepas menjuarai ATP Terbuka Munich semalam. – AFP

Murray begitupun tidak mempunyai masa yang banyak untuk meraikan kejayaannya apabila dijadual beraksi dalam Madrid Masters, minggu depan – kejohanan yang turut membabitkan Kohlscreiber.

Roger Federer pula, menewaskan Pablo Cuevas dari Uruguay kelmarin untuk muncul juara Terbuka Istanbul dan merangkul gelaran ke-85 dalam kariernya, tetapi untuk mahkota pertama di gelanggang tanah liat selepas setengah dekad.

Pemain dari Switzerland itu, yang merupakan juara Grand Slam 17 kali, menunjukkan aksi luar biasa menjelang kejohanan Terbuka Perancis untuk mengetepikan saingan Cuveas menerusi tie break pada set kedua.

Pilihan pertama kejohanan itu mendominasi permainan meskipun Cuevas bertahan dengan baik tetapi terpaksa keluar dua kali untuk mendapatkan rawatan pergelangan tangannya sebelum Federer menang 6-3, 7-6 (13/11) dalam tempoh sejam 36 minit.

ARTIKEL YANG SAMA