Murray juarai Masters Montreal

Murray juarai Masters Montreal

MONTREAL, 17 Ogos (AFP) – Andy Murray menamatkan kekalahan lapan perlawanan di tangan Novak Djokovic, apabila menewaskan pemain Serbia itu pada final Masters Montreal ATP, 6-4, 4-6, 6-3, di sini, semalam.

Kejuaraan itu sekali gus membolehkan pemain Britain ini melonjak ke ranking nombor dua dunia semula bagi mengenepikan Roger Federer. Namun dalam masa sama, ia turut menghancurkan harapan Djokovic memenangi kejuaraan Masters 1000 ke-25 dan trofi ketujuh musim ini.

Murray mengakhiri lapan kekalahan menentang Novak Djokovic semalam untuk memenangi ATP Masters Montreal hanya beberapa jam selepas jurulatihnya Amelie Mauresmo melahirkan anak damit.

Pemain Scotland itu yang bergerak ke tangga kedua dalam ranking ATP hari ini mendedahkan berita mentor beliau dari Perancis yang merupakan satu-satunya wanita yang melatih pemain lelaki.

Murray berkata beliau dan pasukannya melihat gambar ibu dan anak damit itu di Internet tanpa menambah apa-apa maklumat lanjut.

Murray menjulang Piala Rogers selepas menumpaskan Djokovic semalam. – AFP
Murray menjulang Piala Rogers selepas menumpaskan Djokovic semalam. – AFP

“Saya tidak tahu dengan banyak kerana kami hanya melihat gambar dia dan anaknya pagi ini apabila kami bangun. Saya belum bercakap dengan dia lagi,” kata Murray.

“Saya bayangkan dia agak letih. Mungkin saya dan tenis adalah perkara yang terakhir di fikiran dia yang benar-benar saya fahami. Tetapi saya gembira dia OK dan semuanya berjalan dengan baik.”

Dengan pembantunya Jonas Bjorkman menonton dari kotak pemain, Murray mencatatkan prestasi menarik selama tiga jam untuk mengalahkan Djokovic buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun sejak beliau memenangi Wimbledon 2013.