Murray jumpa Raonic di suku akhir

Murray jumpa Raonic di suku akhir

MONTE CARLO, 14 April (AFP) – Andy Murray berjaya melepasi tentangan sukar untuk mara ke suku akhir kejohanan Monte Carlo Masters hari ini, selepas menewaskan lawan dari Perancis, Benoit Paire, 2-6, 7-5, 7-5.

Pemain pilihan kedua itu akan berdepan pemain yang mempunyai servis kencang Milos Raonic esok pada pusingan suku akhir selepas pemain Kanada itu menewaskan pemain Bosnia, Damir Dzumhur 6-3, 4-6, 7-6 (7/5).

Murray berjaya kembali dari tewas satu set dan dua mata break di set kedua apabila dia berjaya mengembalikan momentum pada mainannya menewaskan pemain Perancis itu yang mengakui bahawa mainannya begitu gemuruh pada saat penting.

Dia membuktikan perkara itu apabila melakukan double fault kelapan pada mata perlawanan bagi Murray untuk mengakhiri perlawanan itu yang berlangsung selama dua jam 30 minit.

Murray mempunyai rekod perlawanan 5-4 ke atas Raonic, dan baru-baru ini menewaskannya pada perlawanan separuh akhir di Terbuka Australia pada Januari lalu.

Murray mendapat tentangan hebat daripada pemain Perancis Benoit Paire. – AFP
Murray mendapat tentangan hebat daripada pemain Perancis Benoit Paire. – AFP

“Ia satu perlawanan yang tidak dapat dijangka,” kata Murray. “Dia begitu berbakat, Saya perlu terus berjuang pada set kedua.

“Kami berdua mempunyai peluang masing-masing, namun saya bermain lebih kukuh hingga ke akhir.”

Paire mengakhiri perlawanan itu dengan 52 kesilapan mudah dan 47 winner yang mana merupakan pertembungan pertamanya dengan Murray.

Murray di bawah tekanan pada musim tanah liat ini, dengan mempertahankan kejuaraan di Munich dan Madrid yang bakal menjelang.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya menunjukkan keputusan yang sederhana setakat 2016 ini, musim yang kebanyakannya terjejas hampir sebulan dengan kelahiran anak perempuan pertamanya pada Februari lepas, beberapa hari selepas tewas pada perlawanan akhir Terbuka Australia kepada Novak Djokovic.

Murray kekal sebagai pemain pilihan teratas minggu ini selepas Djokovic terkeluar dari kejohanan selepas ditewaskan oleh pemain dari Republik Czech Jiri Vesely.