Murray kekalkan pemburuan trofi Wimbledon

Murray kekalkan pemburuan trofi Wimbledon

LONDON, 3 Julai – Andy Murray kekal dalam pemburuan menjulang trofi Wimbledon dan menggunakan kesempatan atas penyingkiran mengejutkan Novak Djokovic selepas melangkah ke peringkat 16 terakhir, awal pagi tadi.

Pemain kelahiran Britain yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu mara selepas mencatat kemenangan 6-3, 7-5, 6-2 ke atas pemain Australia, John Millman di pusingan ketiga.

Murray sebelum ini tampak bergelut untuk mengatasi Djokovic sejak tiga tahun lalu dan sudah tewas dua kali di pentas final Grand Slam tahun ini – Terbuka Australia dan Perancis.

Begitupun, pemain berusia 29 tahun yang tewas 13 daripada 15 pertembungan dengan Djokovic itu tidak perlu bimbang dengan ancaman pemain kelahiran Serbia itu yang sudah pun tersingkir di pusingan ketiga kepada pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey.

Ia satu lagi pencetus semangat buat Murray yang turut memanfaatkan penyingkiran awal pilihan keempat Stan Wawrinka di pusingan awal – lawan yang dijadualkan ditemuinya di separuh akhir.

Reaksi Murray selepas menang satu mata menentang pemain Australia John Millman semasa perla-wanan perseorangan lelaki mereka di London, semalam. - AP
Reaksi Murray selepas menang satu mata menentang pemain Australia John Millman semasa perla-wanan perseorangan lelaki mereka di London, semalam. – AP

Ketika ditanya mengenai penyingkiran Djokovic, Murray enggan mengakui ia membantu dia mencapai cita-citanya namun berkata keputusan itu mengejutkan.

“Ketika ini, semua orang menjangkakan Novak akan memenangi semua perlawanan. Dia hampir menemui jalan bagaimana untuk mendapatkannya hari ini,” kata Murray.

“Apa yang sudah dilakukannya sejak 18 bulan lalu, saya tidak fikir kami akan bertemu lagi dalam tempoh yang lama. Tahap konsisten yang dimilikinya menakjubkn, namun adalah mustahil untuk menang semua perlawanan.” – AFP