Murray kekalkan status nombor 1

Murray kekalkan status nombor 1

LONDON, 21 Nov – Jaguh tenis Britain, Andy Murray kini sah mengakhiri kempen musim 2016 selaku pemain nombor satu dunia selepas berjaya menewaskan Novak Djokovic 6-3, 6-4 sekali gus merangkul kejuaraan sulung Jelajah ATP Dunia Final, awal pagi tadi.

Kejayaan di Arena O2 London itu menyaksikan Murray yang mencantas kedudukan Djokovic selama 122 minggu sebagai pemain nombor satu dunia dua minggu lalu, tidak mampu lagi dicabar musuh utamanya itu.

Pemain berusia 29 tahun itu kini menjadi pemain ke-17 yang berjaya menamatkan kempen tahunan sebagai pemain nombor satu dunia sejak pengenalan sistem ranking ATP pada 1973.

Malah, Murray menjadi pemain selain Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal yang berjaya merakam kejayaan itu sejak kali terakhir Andy Roddick melakukannya pada 2003.

Beraksi di depan lebih 17,000 penonton yang turut dihadiri beberapa aktor ternama seperti Jude Law, Kevin Spacey dan Woody Harrelson, Murray berkata: “Saya gembira kerana menang dan menjadi pemain nombor satu dunia adalah amat istimewa.

Andy Murray menjulang piala Jelajah ATP Dunia Final setelah menewaskan Novak Djokovic 6-4, 6-3. – AFP
Andy Murray menjulang piala Jelajah ATP Dunia Final setelah menewaskan Novak Djokovic 6-4, 6-3. – AFP

“Ia sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan. Kami bermain dalam final Grand Slam sebelum ini namun menentang Novak dalam perlawanan seperti ini amat istimewa.”

Sementara itu, Djokovic berkata: “Saya bermain lebih baik pada penghujung perlawanan namun ia tidak mencukupi.

“Andy jelas pemain nombor satu dunia. Dia layak untuk memenanginya.

Dia adalah pemain terbaik.”

Kemenangan menyaksikan Murray membawa pulang hadiah kemenangan lumayan STG914,000.

Tahun 2016 boleh dianggap cemerlang buat Murray sekalipun tewas dua pertembungan akhir

di Grand Slam kepada Djokovic di Australia dan Perancis tetapi dia berjaya memenangi gelaran kedua di Wimbledon selain pingat emas di Sukan Olimpik.

Ia juga adalah gelaran kelima dimenangi secara berturut-turut oleh pemain kelahiran Scotland itu sekali gus menambah jumlah kemenangan sepanjang kariernya kepada 44 dengan kecederaan Federer dan Nadal memberikan keyakinan 2017 juga mampu menjadi musim yang baik untuknya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA