Murray terajui misi Britain

Murray terajui misi Britain

GLASGOW, 17 Sept (Agensi) – Tatkala Britain bersedia untuk melawan Australia dalam perlawanan separuh akhir Piala Davis pada minggu ini, tumpuan akan diberikan kepada siapa yang tidak bertanding berbanding siapa yang akan turun di gelanggang di Glasgow.

Andy Murray akan memimpin satu pasukan yang berusaha memenangi kejuaraan pertama Britain sejak 1936, sementara pasukan pengunjung itu akan bermain tanpa Nick Kyrgios, yang tewas kepada pemain Scotland dalam pusingan pembukaan Terbuka AS dan yang sering menimbulkan kontroversi disebabkan telatahnya pada musim ini.

Dalam pusingan kedua Piala Rogers di Montreal pada Ogos, mikrofon gelanggang mengesan kata-kata lucah yang dikeluarkan oleh Kyrgios mengenai teman wanita pencabarnya, Stan Wawrinka.

Pada awal tahun ini, Kyrgios nampaknya tidak berusaha untuk mengembalikan pukulan servis dalam set kedua kekalahan pusingan keempatnya ketika melawan Richard Gasquet di Wimbledon setelah bertengkar dengan pengadil, sementara bermain menentang Murray pada Terbuka AS pada awal bulan ini, pemain berusia 20 tahun itu menutup matanya dan nampaknya tertidur ketika dia duduk di kerusinya pada akhir set kedua.

Kapten Piala Davis Australia, Wally Masur bercakap kepada Kyrgios selepas kekalahan Terbuka ASnya dan mereka bersetuju adalah paling baik jika dia tidak mengambil bahagian dalam perlawanan menentang Britain, yang bermula dengan acara perseorangan esok.

“Nick bermain melawan Andy pada Terbuka AS dan kami duduk dua hari selepas itu,” kata Masur. “Nick mempunyai tahun yang sibuk. Kami rasa ia adalah tindakan terbaik untuknya dan tindakan terbaik untuk pasukan.

“Secara terus-terang, kami melihat pada Nick sebagai satu cadangan 10-tahun. Dia akan menjadi pemain hebat untuk Australia. Namun perlawanan Piala Davis ini diadakan terlalu awal.”

Lleyton Hewitt, Bernard Tomic, Sam Groth dan Thanasi Kokkinakis membentuk pasukan Australia.

Untuk pemain berusia 34 tahun Hewitt, yang akan bersara selepas Terbuka Australia pada 2016, ia adalah percubaan terakhir pada perlawanan Piala Davis.

“Dalam perlawanan tahun terakhir saya, ia adalah satu peluang hebat,” kata Hewitt.

“Dengan pengalaman saya dan anak muda lain di luar sana, kami telah mencampuradukkannya.

“Saya fikir banyak tekanan diberikan kepada Andy. Maka sesiapa yang mendapat peluang untuk melawannya, pada hari pertama, tidak mempunyai apa-apa yang dirugikan, anda boleh keluar dan bermain perlawanan anda. Saya fikir Andy perlu memenangi perlawanan tersebut.”

Murray menolak dakwaan mengatakan Britain merupakan pasukan seorang pemain, dan semua tekanan adalah pada dirinya.

ARTIKEL YANG SAMA