Murray tetap bersaing

Murray tetap bersaing

RIO DE JANEIRO, 3 Ogos – Andy Murray tidak menghiraukan ancaman virus Zika serta ketiadaan dua pesaing utamanya di Olimpik Rio.

Bintang tenis British itu yang memenangi gelaran Wimbledon keduanya bulan lalu, mengakui dia mungkin akan digigit nyamuk yang membawa virus Zika di rumah keduanya di Miami sebagaimana dia terdedah kepada ancaman itu di Rio.

Bagaimanapun, dia menegaskan ketiadaan isterinya, Kim serta anak perempuan mereka, Sophia, bukan kerana ancaman berkenaan yang menjadi alasan kepada penarikan diri pemain-pemain ternama di temasya kali ini.

“Tidak, Kim dan Sophia tidak akan datang. Mereka memang tidak merancang untuk ke sini,” kata pemain 29 tahun itu selepas sesi latihan pertamanya di Rio.

“Saya berbincang dengan doktor saya dan dia memberi jaminan yang tidak ada masalah di sini. Saya cuma berharap tidak akan digigit nyamuk terlalu kerap, tetapi saya rasa ia tidak seteruk mana dalam bulan ini.

Andy Murray semasa sesi latihan di pusat gelanggang Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. – AP
Andy Murray semasa sesi latihan di pusat gelanggang Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. – AP

“Banyak lagi tempat yang tidak selamat, seperti di Miami. Anda cuma berharap yang tidak akan berlaku apa-apa.”

Murray dan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic antara pemain pilihan memenangi pingat emas di Rio.

Laluan mereka untuk bertemu di final pada 14 Ogos semakin terbuka luas apabila pemain nombor empat dunia, Stan Wawrinka turut menarik diri akibat kecederaan belakang.

Minggu lalu, pemain nombor tiga dunia, Roger Federer, menarik diri dan mengakhirinya musimnya akibat kecederaan lutut.

“Malang buat Roger dan Stan. Mereka adalah dua pemain hebat dan mampu memenangi acara seperti ini, jadi malang sekali mereka tidak dapat bersama,” kata Murray.

“Tetapi saingan kali ini masih sengit. Ramai di antara pemain dalam kelompok 20 terbaik berada di sini. Amat rugi beberapa pemain dalam kelompok 10 teratas tidak datang.

“Sebahagian daripada mereka menjadikan ancaman virus Zika sebagai alasan, beberapa orang lagi kerana kecederaan.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA