Murray, Wawrinka mara suku akhir

Murray, Wawrinka mara suku akhir

PARIS, 30 Mei – Pemain nombor dua dunia Andy Murray dan juara bertahan Stan Wawrinka mara ke suku akhir Terbuka Perancis manakala Richard Gasquet menyalakan peluang untuk pemain tuan rumah muncul juara selepas 33 tahun.

Murray mara ke peringkat lapan terakhir itu untuk kali keenam dengan mencatat kemenangan 7-6 (11/9), 6-4, 6-3 ke atas pemain Amerika Syarikat, John Isner.

Pemain berusia 29 tahun dan pernah berada tiga kali di pentas akhir itu dijadual berdepan Gasquet, satu-satunya pemain Perancis yang masih belum tersingkir di pusingan suku akhir.

Murray mempunyai rekod kemenangan 7-3 ke atas Gasquet termasuk kemenangan di Roland Garros pada tahun 2010 dan 2012.

Aksi Murray ketika bersaing dengan pemain Amerika Syarikat, John Isner semasa perlawanan pusingan keempat lelaki pada kejohanan terbuka Perancis Roland Garros 2016 di Paris semalam. – AFP
Aksi Murray ketika bersaing dengan pemain Amerika Syarikat, John Isner semasa perlawanan pusingan keempat lelaki pada kejohanan terbuka Perancis Roland Garros 2016 di Paris semalam. – AFP

Gasquet menyingkirkan pemain pilihan kelima dari Jepun, Kei Nishikori dengan keputusan 6-4, 6-2, 4-6, 6-2 dan mara ke pentas suku akhir buat kali pertamanya.

“Saya bermula dengan teruk tetapi semua orang membantu saya dan sukar buat Nishikori untuk mengatasinya,” kata Gasquet.

“Dia memulakan permainan dengan teruk (selepas hujan) dan ini memberi saya keyakinan untuk menggunakan gaya permainan saya dan mencari pukulan terbaik yang saya miliki.”

Kali terakhir pemain perseorangan lelaki Perancis yang meraih gelaran di Roland Garros adalah Yannick Noah pada tahun 1983. – AFP