MUSA lancar promosi SIFF ke-11 di Kota Kinabalu

MUSA lancar promosi SIFF ke-11 di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 15 Jun (Bernama) – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman hari ini melancarkan promosi Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa Ke-11 (SIFF) di perkarangan Wisma Innoprise di sini.

Beliau turut memasang bendera rasmi SIFF pada beberapa kenderaan dan menandatangani kenderaan rasmi SIFF, yang akan digunakan untuk mempromosi acara tahunan berprestij itu.

Turut hadir Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Yahya Hussin, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun. Bertemakan ‘Pahlawan’, SIFF bakal diadakan mulai 24 hingga 30 Julai ini di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang.

Sebagai acara antarabangsa, SIFF akan mempromosikan pelancongan ber-asaskan kebudayaan yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melalui Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Bercakap kepada pemberita kemudian, Pengerusi LKNS Datuk Wences Angang berkata sebanyak 11 negara mengesahkan penyertaan dalam festival itu, dengan antara lainnya mempamerkan tarian dan pakaian tradisi masing-masing.

“Walaupun kali ini kita mengenakan yuran AS$30 kepada setiap peserta, namun penyertaan negara luar masih memberangsangkan,” katanya.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Australia, Ireland, Indonesia, India, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Estonia, Korea Selatan, dan Rusia.