Musa mahu lebih banyak syarikat pengeksport dari Sabah

Musa mahu lebih banyak syarikat pengeksport dari Sabah

KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mahu lebih banyak syarikat dan usahawan dari Sabah mendaftar sebagai pengeksport serta menyertai promosi perdagangan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, mereka tidak seharusnya bergantung kepada pasaran tempatan sahaja, sebaliknya perlu berusaha menerokai pasaran luar negara.

“Saya dimaklumkan masih banyak syarikat di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pengeksport dengan MATRADE…Kita percaya usahawan dari Sabah mempunyai potensi yang besar…Sabah mempunyai sumber asli yang boleh diberi nilai tambah di samping permintaan bagi perkhidmatan yang dijana sektor perladangan, perdagangan serta sektor minyak dan gas.

“Sehubungan itu, usahawan perlu dibangunkan dengan efektif kerana usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah komponen penting ekonomi dan perniagaan negara,” katanya dalam teks ucapannya sempena program ‘Forum Pengeksport 2015 Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapan Musa dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Bolkiah Ismail. Pengerusi MATRDADE, Datuk Noraini Ahmad turut hadir.

Menurut Musa, aktiviti Promosi Perdagangan dan Pembangunan Pengeksport 2015 MATRADE perlu dijadikan pelan tindakan berkesan bagi syarikat dan perkhidmatan profesional untuk mengekalkan eksport. Selain itu, katanya, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia boleh memberi pengaruh kuat kepada produk dan perkhidmatan tempatan untuk menembusi pasaran ASEAN yang mempunyai 620 juta penduduk .

Musa berkata, adalah penting usahawan memaksimumkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan.

Katanya sebagai negeri keenam penyumbang kepada ekonomi negara, syarikat dari Sabah yang terdiri daripada 14,000 PKS harus mengambil peluang yang terbuka luas untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka dengan lebih efektif.

Menurut Musa, MATRADE mempunyai beberapa program dalam membangunkan usahawan dan pengeksport untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa seperti Going Export (Go-Ex) yang diwujudkan untuk meneroka pasaran baharu dan sektor minyak dan gas, makanan dan minuman, gaya hidup, elektrik dan elektronik, ICT dan penjagaan kesihatan.

Musa berkata, program lain seperti Mid-Tier untuk syarikat pertengahan yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta dari sektor perkilangan dan daripada RM20 juta hingga RM500 juta bagi sektor lain untuk membantu syarikat menembusi pasaran baharu serta mengakses pembiayaan dan teknologi baharu dan khidmat nasihat daripada perunding antarabangsa.

“Menyedari besarnya potensi platform e-dagang di dalam memasarkan produk dan perkhidmatan PKS ke pasaran global, MATRADE memperkenalkan program eTRADE Oktober tahun lalu dengan menawarkan insentif kewangan bagi penyenaraian syarikat PKS di dalam pasaran dalam talian antarabangsa yang telah dikenal pasti seperti Alibaba.com dan eBay,” katanya. Musa berharap usahawan Sabah dapat memohon insentif di bawah program berkenaan seterusnya berkecimpung secara aktif dalam perniagaan e-dagang bagi memperluaskan pasaran mereka.