Musa mahu pembinaan terminal bas ikut jadual

Musa mahu pembinaan terminal bas ikut jadual

SANDAKAN, 2 Sept (Bernama) – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu pembinaan Terminal Bas Bersepadu Sandakan disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Diharap projek ini dapat disiapkan mengikut jangka waktu yang ditetapkan agar rakyat mendapat manfaat hasil daripada pembangunan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek pembinaan terminal itu di Batu 3 Jalan Utara dekat sini Rabu.

Musa berkata projek yang menelan belanja RM16.2 juta itu mula dibina sejak awal 2014 dan dijangka siap pada akhir 2016. Beliau berkata pelaksanaan projek terbesar di negeri ini yang berkeluasan 4.13 hektar telah disiapkan hampir 40 peratus.

“Pembinaan terminal bersepadu ini penting untuk memudahkan lalu lintas dan keselesaan penumpang,” katanya.