Musabaqah Al-Quran Dewasa Kebangsaan bermula

Musabaqah Al-Quran Dewasa Kebangsaan bermula

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) malam ini berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/ 2016 Masihi.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.

Sebelum merasmikan pertandingan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda yang antara lain menekankan kejayaan Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) di bawah kendalian Jabatan Pengajian Islam sejak 1997, yang mana ia telah membuahkan hasil yang dihasratkan iaitu melahirkan generasi pelapis qari dan qariah di peringkat kebangsaan secara berterusan.

“Bersukut daripada pencapaian berkenaan, pada hemat saya, kejayaan berkenaan adalah juga berpaksikan kepada kejayaan pembangunan kerohanian para belia dan remaja. Sebagai aset utama negara, kita perlu berusaha dengan gigih bagi melahirkan modal insan yang beriman, bertakwa serta berakhlak berlandaskan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota mengurniakan sabda perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi, malam tadi.
DYTM Pengiran Muda Mahkota mengurniakan sabda perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi, malam tadi.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, proses pembangunan negara yang berteraskan Islam dan minda Al-Quran berkenaan akan seterusnya membentuk insan rabbani yang memiliki akal dan minda yang sentiasa cergas untuk berfikir.

Minda yang proaktif, tambah Duli Yang Teramat Mulia, akan seterusnya mencetuskan dorongan-dorongan dan perkembangan dalam masyarakat bagi menggerakkan pelbagai bentuk perubahan yang positif.

Pembinaan keupayaan ini adalah lebih relevan lagi dengan peranannya dalam bersama-sama menghindari gejala-gejala negatif serta menangani apa jua bentuk cabaran yang dihadapi negara.

Perkara ini, tekan Duli Yang Teramat Mulia, selaras dengan mukjizat Al-Quran sebagai sumber rujukan yang menekankan kepada pembentukan akal dan minda yang bertitik tolak daripada keimanan dan pedoman hidup, ia jelas telah terbukti berjaya mencorakkan kehidupan generasi Islam di zaman Rasulullah khususnya dalam membangun sebuah negara madani.

Terdahulu, majlis telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

Acara kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama yang menyembahkan bahawa dalam usaha bagi mempertingkatkan lagi pembacaan bertaranum qari dan qariah yang berpotensi, kementeriannya telah mengadakan Bengkel Qari dan Qariah Muda sejak Disember tahun lepas.

Peserta qari, Awang Mohammad memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Peserta qari, Awang Mohammad memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Dalam tempoh itu, sembah Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin, salah seorang peserta qari muda yang diberikan bimbingan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir kebangsaan buat pertama kalinya.

Di samping itu, Bengkel Tarannum Al-Quran juga diberikan kepada para peserta yang berjaya ke peringkat akhir di bawah bimbingan dua orang pengajar tempatan dan seorang dari luar negara.

“Selanjutnya Insya-Allah latihan intensif akan diteruskan bagi johan-johan musabaqah ini yang akan mewakili negara ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 2 hingga 7 Mei 2016,” tambah Yang Berhormat Pehin.

Beliau juga menyembahkan bahawa Musabaqah Membaca Al-Quran ini telah dimulakan di peringkat zon dan daerah yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan disertai 82 orang yang terdiri daripada 59 Qari dan 23 Qariah yang diadakan selama empat hari berturut-turut.

Di Peringkat Separuh Akhir pula, seramai 58 orang peserta iaitu 37 Qari dan 21 Qariah telah bertanding pada 2 hingga 4 Februari 2016 yang lalu, hasilnya enam Qari dan enam Qariah termasuk johan menunggu memasuki peringkat akhir pertandingan berkenaan.

Pada malam pertama ini, empat orang peserta terdiri daripada dua Qari iaitu , Awang Mohammad bin Ali dan Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri serta dua Qariah iaitu Hajah Siti Noor Dzulhairah binti Haji Awang Damit dan Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat memperdengarkan bacaan Al-Quran masing-masing.