Musabaqah guru-guru kelas Al-Quran

Musabaqah guru-guru kelas Al-Quran

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Haji Latif bin Haji Mohd Noor dan Hajah Norlina binti Haji Manan telah muncul juara kategori masing-masing dalam Pertandingan Musabaqah Tilawatil Al-Quran Guru-guru Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS) yang berlangsung di masjid itu, hari ini.

Dalam kategori lelaki, Haji Latif dengan markah 80 peratus mendahului para peserta lain dengan tempat kedua disandang oleh Awangku Mohd Hafiezuddin Faris bin Pengiran Sharifuddin (78 peratus) dan Awang Mohd Abdul Hadi bin Haji Duraman (76 peratus) di tempat ketiga.

Manakala itu, Hajah Norlina menjuarai kategori perempuan dengan memperoleh markah 76 peratus, diikuti oleh Dayang Norhidayati binti Mohd Syukri di tempat kedua (71 peratus) dan Dayang Mariam binti Haji Marsid di tempat ketiga (67 peratus).

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Rimba Gadong, Awang Puspa Wira bin Haji Mohd Noor selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pegawai Zon III Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai hal ehwal Masjid RIPAHS, serta imam-imam Masjid RIPAHS.

Haji Latif memenangi pertandingan bagi peserta lelaki dengan markah keseluruhan 80 peratus.
Haji Latif memenangi pertandingan bagi peserta lelaki dengan markah keseluruhan 80 peratus.
Juara bagi peserta perempuan yang disandang oleh Hajah Norlina dengan markah 76 peratus.
Juara bagi peserta perempuan yang disandang oleh Hajah Norlina dengan markah 76 peratus.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada 14 lelaki dan 19 perempuan telah menyertai pertandingan anjuran pegawai hal ehwal masjid, imam-imam dan ahli jawatankuasa (AJK) guru-guru Al-Quran dan Muqaddam Masjid RIPAHS itu.

Ia antara lain bertujuan untuk mentakmir masjid di samping mencungkil bakat guru-guru yang berkebolehan dalam bidang Terannum dalam membawakan apa jua lagu-lagu dalam bacaan Al-Quran.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan mutu bacaan dalam pengajaran Al-Quran untuk diwariskan kepada murid-murid kelas Al-Quran/Muqaddam; dapat mewakili ke pertandingan peringkat Zon Daerah sekali gus ke peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa di Kuala Lumpur; serta mengikatkan silaturahim sesama umat Islam dan berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Terdahulu, majlis yang julung-julung kalinya diadakan tersebut telah dimulakan dengan sambungan musabaqah daripada lapan orang peserta yang belum lagi diperdengarkan dan diselajurkan dengan Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena cuti sekolah penggal pertama.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan dan sijil Belia-belia Masjid Sempena Khatam Al-Quran 32 Kali anjuran Jabatan Belia dan Sukan serta sagu hati kepada para hakim pertandingan.

ARTIKEL YANG SAMA