Musabaqah Hafaz Al-Quran bermula esok

Musabaqah Hafaz Al-Quran bermula esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan tahun 1437 Hijrah akan diadakan selama dua hari berturut-turut, 1 dan 2 Jun ini, di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), lima kategori akan dipertandingkan dalam musabaqah tersebut, iaitu Kategori A bagi menghafaz surah-surah pilihan dari Juz 30 iaitu Surah Al-Buruuj, Surah Ath-Thaariq, Surah Al-A’laa, Surah Al-Ghaasyiah, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams, Surah Al-Lail dan kompilasi surah-surah lazim dari Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Naas berserta pemahaman Surah Al-Ghaasyiah, Surah Al-Fajr, Surah Al-A’laam, Surah Adh-Dhuha dan Surah Al-Qadr bagi para peserta kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.

Kategori B pula menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah Luqman, Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Al-Insaan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waaqi’ah dan Surah Al-Mulk berserta

pemahaman Surah Al-Jumu’ah, Surah Al-Munaafiquun dan Surah At-Thalaaq bagi yang berumur 15 tahun ke bawah.

Kategori C menghafaz tiga Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga 3 berserta pemahaman Juz 3 bagi semua peringkat umur; Kategori D menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga 15 berserta pemahaman Juz 10 bagi semua peringkat umur; dan Kategori E pula menghafaz 30 Juz Al-Quran daripada Juz 1 hingga 30 berserta pemahaman Juz 21 yang juga terbuka bagi semua peringkat umur.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan pertandingan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA