Musabaqah kukuh ukhuwah Islamiah

Musabaqah kukuh ukhuwah Islamiah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim muncul johan buat kali kedua bagi Kategori Belia Lelaki sekali gus menjadi pemenang keseluruhan dalam Musabaqah Tilawatil Al-Quran Secara Muratal ke-9 bagi penduduk Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Hanching, hari ini.

Johan yang juga pernah menyandang pemenang keseluruhan Musabaqah Tilawatil Al-Qur’an Secara Muratal 8 tahun lalu bagi penduduk Daerah Brunei dan Muara telah memperolehi markah 97 peratus. Pada pertandingan musabaqah tahun ini, seramai 12 peserta memperdengarkan bacaan mereka dalam empat kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Belia Lelaki dan Kategori Belia perempuan berumur 12 tahun hingga 23 tahun, Kategori Dewasa Lelaki berumur 55 tahun ke atas dan Kategori Dewasa Perempuan berumur 45 tahun ke atas, masing-masing diwakili tiga peserta.

Bagi Kategori Belia Perempuan, johan disandang oleh Dayang Assrinna binti Haji Ibrahim, manakala johan Lelaki dan Perempuan Dewasa, diraih oleh Haji Metussin bin Haji Tengah dan Hajah Halimah bin Mohd Yaakub.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang juga selaku tetamu kehormat di majlis itu.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan piala kepada johan keseluruhan, Abdul Wafiy.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan piala kepada johan keseluruhan, Abdul Wafiy.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan piala kepada juara Kategori Belia Perempuan, Dayang Assrinna.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan piala kepada juara Kategori Belia Perempuan, Dayang Assrinna.

Yang Berhormat Pehin percaya majlis seumpama ini akan dapat mengukuhkan ukhuwah Islamiah ke arah membina ummah yang bersatu padu, berdaya maju dan dinamik terutamanya bagi penduduk Kampung Mukim Berakas ‘B’ dan di DBM dalam menghayati dan mempelajari ayat-ayat suci Al-Quran.

“Sebagaimana yang kita maklum, Al-Quran adalah undang-undang yang menyeluruh bagi semua kehidupan sama ada dari segi akidah, syariah, sosioekonomi dan lain-lain,” tambahnya.

Antara lain tujuan musabaqah ini adalah untuk membantu menyebarkan syiar Islam seterusnya mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli jawatankuasa (AJK) yang menganjurkan pertandingan itu iaitu, Majlis Perundingan Kampung Kawasan 5 Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan bersama AJK Takmir Masjid Kampung Salambigar yang disokong oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara dalam melaksanakan aktiviti keagamaan.

ARTIKEL YANG SAMA