Musharraf tinggalkan Pakistan

Musharraf tinggalkan Pakistan

ISLAMABAD, 18 Mac (Reuters) – Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf meninggalkan Pakistan hari ini bagi rawatan perubatan menuju Dubai selepas kerajaan menarik balik tegahan perjalanan ke atasnya ketika dia menanti perbicaraan atas tuduhan menderhaka dan dakwaan lain, menurut jurucakapnya.

Mahkamah Tinggi Pakistan mengarahkan kerajaan Rabu lalu untuk menarik balik tegahan perjalanan, yang membuka laluan untuk Musharraf pergi. “Jeneral Pervez Musharraf telah meninggalkan negara untuk pergi ke Dubai,” menurut jurucakapnya Mohammad Amjad.

Pemergian Musharraf itu, yang banyak kes mahkamah sejak kembali ke tanah air dari hidup dalam buangan sendiri pada tahun 2013, akan menyingkirkan sumber pergeseran antara pihak tentera dan Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Media telah memperlihatkan gambar Musharraf meninggalkan rumahnya dengan konvoi kawalan lengkap untuk pergi ke lapangan terbang di bandar pelabuhan Karachi. Dia masuk ke lapangan terbang melalui pagar yang dikhaskan bagi kakitangan dan berlepas ke Dubai dengan mengikuti penerbangan Amiriah.

Gambar fail bertarikh 11 November 2007 menunjukkan reaksi Pervez Musharraf pada sidang akhbar di Islamabad. – Reuters
Gambar fail bertarikh 11 November 2007 menunjukkan reaksi Pervez Musharraf pada sidang akhbar di Islamabad. – Reuters

“Saya seorang komando dan saya cintakan tanah air saya,” Musharraf memberitahu media Pakistan di lapangan terbang. “Saya akan kembali dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.” Peguamnya mengatakan dia perlu ke luar negara bagi rawatan perubatan dan akan melawat ibunya yang sedang sakit di Dubai.

Menteri Dalam Negeri Chaudhry Nisar Ali Khan berkata semalam, bekas pemerintah itu dibenarkan ke luar negara bagi mendapatkan rawatan selepas komitmen peguamnya bahawa dia akan kembali dalam tempoh 4-6 minggu untuk berdepan dakwaan ke atasnya.

Musharraf memegang pucuk pimpinan pada tahun 1999 dalam rampas kuasa yang tidak menumpahkan darah, ke atas Sharif dan meletak jawatan sembilan tahun kemudian apabila diancam dengan pendakwaan. Dia kembali ke Pakistan pada Mac 2013 selepas hampir empat tahun hidup dalam buangan sendiri untuk bertanding dalam pilihan raya, di sebalik kemungkinan ditangkap dan ancaman mati dari Taliban.

Dia dibebaskan awal tahun ini atas tuduhan membunuh ketua pemisah dalam tahun 2006. Musharraf juga didakwa dalam kaitan dengan pembunuhan bekas perdana menteri Benazir Bhutto pada tahun 2007 dan pembunuhan ulama terkenal.

ARTIKEL YANG SAMA