Musim kemarau di Sarawak undang kebakaran hutan

Musim kemarau di Sarawak undang kebakaran hutan

KUCHING, 2 Julai (Bernama) – Musim kemarau di Sarawak yang dijangka berterusan sehingga awal September ini, akan meningkatkan kes kebakaran belukar dan hutan di negeri ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Nor Hisham Mohammad.

“Kalau minggu lepas kami merekodkan sehingga tiga kes kebakaran dalam sehari tetapi hari ini kami merekodkan 10 kes termasuk dua di Kuching dan dua di Sibu, yang membabitkan kebakaran belukar dan hutan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menerima bungkusan kuih raya daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah di sini, hari ini.

Menurut Nor Hisham, punca berlakunya kebakaran belukar dan hutan disebabkan perbuatan manusia yang melakukan pembakaran semak.

“Bagaimanapun kebakaran yang berlaku setakat ini tidak luas dan berjaya dipadamkan,” tambahnya. Sehubungan itu, beliau merayu kerjasama orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembakaran bagi mengelak bencana yang lebih serius.

Nor Hisham berkata pihaknya juga memberi tumpuan kepada kebakaran rumah sambil berharap ia tidak akan berlaku, khususnya menjelang musim perayaan, sambutan Aidilfitri.

“Kami sedang membuat pemantauan dan tengok dalam masa seminggu kalau berlaku perubahan cuaca dan berharap akan berlaku hujan selang tiga empat hari. Apa yang kami khuatiri ketiadaan hujan berterusan untuk tempoh sehingga dua minggu,”katanya.

Menurutnya kawasan panas berlaku di seluruh negeri ini, bermula di Kuching dan dijangka bergerak sehingga ke Miri pada bulan September.

Mengenai kekuatan anggota bomba dan penyelamat di seluruh negeri itu, Nor Hisham berkata jabatan itu mempunyai 1,302 anggota serta 1,800 anggota bomba dan penyelamat sukarela.

Sementara itu, mengulas mengenai kebakaran kawasan pelupusan sampah berhampiran Kampung Skiat Lama di Bau, beliau berkata ia berpunca daripada perbuatan manusia dan api berjaya dipadam sepenuhnya semalam.

“Sampah melepaskan miten yang menggalakkan pembakaran, ia nampak macam membakar di bahagian atas tetapi ia boleh merebak dengan cepat di bawah,” katanya.