Musim Monsun Barat Daya semakin hampir

Musim Monsun Barat Daya semakin hampir

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Brunei Darussalam menghampiri musim Monsun Barat Daya pada separuh kedua bulan ini, di mana corak umum angin di seluruh negara akan bertiup dari arah Barat daya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan hari ini, keadaan cenderung menjadi agak stabil dengan jumlah hujan yang turun agak sedikit berbanding tempoh peralihan monsun (dalam dua bulan lepas).

Monsun Barat Daya biasanya berkekalan sehingga September.

Semasa kemuncak musim tengkujuh (sekitar Ogos), negara ini biasanya mengalami keadaan berjerebu akibat cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Monsun Barat Daya juga berlaku serentak dengan musim aktif sistem siklon seperti ribut tropika dan taufan melanda Barat Laut Pasifik dan Laut China Selatan.

Apabila keadaan itu melanda, negara ini cenderung mengalami ribut petir dan angin kencang sekali-sekala bergantung kepada lokasi yang berkaitan dengan Brunei Darussalam.

Sementara itu, ramalan terkini dari pusat-pusat iklim dunia terkemuka menyatakan keadaan El-Nino di Lautan Pasifik terus lemah.

Pihak kaji cuaca akan terus memantau keadaan cuaca dan iklim dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran apabila perlu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kajicuaca di talian 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti perkembangan di Facebook (bruneiweather) dan aplikasi mudah alih Brunei WX.