Muslim World Biz 2016 dapat sambutan menggalakkan

Muslim World Biz 2016 dapat sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) – Pameran Muslim World BIZ 2016, merupakan penganjuran kali ketujuh yang akan berlangsung pada Oktober dijangka menjana transaksi perniagaan kira-kira RM900 juta, kata Pengerusi Muslim World BIZ, Muhammad Raja Talib Raja Mohamad.

Pihaknya menerima pertanyaan dari banyak negara mengenai acara tersebut dan setakat ini 12 peratus daripada sasaran 40 negara mengesahkan penyertaan mereka tahun ini, katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal pameran dan persidangan perdagangan terkemuka itu di sini hari ini.

Acara bertema ‘Mengubah Visi Menjadi Kenyataan’ mulai 18 hingga 22 Okt, 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini akan menampilkan antara 600 dan 700 gerai pameran dan menawarkan pelbagai komponen termasuk Forum Ekonomi Perdagangan Asia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), pameran dan persidangan pelancongan perubatan dunia serta perbincangan meja bulat.

Muslim World BIZ 2016 dianjurkan oleh OIC International Business Centre Sdn Bhd dengan kerjasama OIC, Pusat Pembangunan Perdagangan Islam dan Persatuan Perniagaan Dunia Muslim Malaysia.