Muslimah Cabang NU kunjungi Daerah Belait

Muslimah Cabang NU kunjungi Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Nov – Serombongan 17 orang terdiri daripada ahli-ahli Muslimah Cabang Nahdlatul Ulama (NU) Kota Singkawang Kalimantan Barat Indonesia telah mengadakan lawatan ke Daerah Belait selama tiga hari.

Lawatan rombongan yang diketuai oleh Hajah Munawarah binti Abdul Salam itu dialu-alukan oleh Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait, yang dipengerusikan oleh Dr. Haji Mohd Shah bin Haji Ahmad.

Menurut Hajah Munawarah semasa ditemui Media Permata, menjelaskan bahawa antara lain tujuan lawatan itu diadakan adalah bagi mengeratkan silaturahim serta mengikat jalinan sesama Islam khususnya kepada muslimah di sini.

Menurutnya Muslimah Cabang NU Kota Singkawang, Kalimantan Barat, yang mempunyai seramai lebih 700 ahli itu sering terlibat aktif dalam aktiviti keagamaan, sosial dan kemasyarakatan.

“Ini bukanlah kali pertama saya berkunjung ke Negara Brunei Darussalam, selain menerima undangan semasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan beberapa sambutan lainnya. Bagaimanapun bagi ahli-ahli rombongan lawatan lainnya, ini adalah pengalaman pertama mereka ke negara ini,” katanya.

Gambar ramai bersama rombongan Muslimah Cabang NU Kota Singkawang Kalimantan Barat Indonesia ketika mengadakan lawatan tiga hari ke Daerah Belait.
Gambar ramai bersama rombongan Muslimah Cabang NU Kota Singkawang Kalimantan Barat Indonesia ketika mengadakan lawatan tiga hari ke Daerah Belait.

Dalam kunjungan hari pertama di sini, mereka dibawa melawat ke Jabatan Daerah Belait dan bertemu dengan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib.

Semasa lawatan tersebut, rombongan juga telah diberikan taklimat ringkas mengenai dengan fungsi dan peranan Pejabat Daerah Belait, keramaian penduduk, ketua-ketua kampung, mukim dan kampung dan antara aktiviti kemasyarakatan, sosial yang telah dilaksanakan oleh Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di daerah tersebut.

Rombongan tersebut kemudiannya telah dibawa berkunjung ke Balai Raya Kampung Sungai Teraban, sementara pada sebelah malamnya mereka di bawa berkunjung dan menikmati makan malam di kediaman Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Dulamin.

Antara lain pengisian lawatan semasa kunjungan rombongan tersebut ialah lawatan ke Jabatan Daerah Kuala Belait di Seria dan Muzium Daerah Belait. Turut sama mengalu-alukan rombongan di sepanjang lawatan termasuklah ialah Persatuan PERTIWI cawangan Daerah Belait, Persatuan Kebajikan Perempuan cawangan Daerah Belait dan Biro-Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim dan Majlis Perundingan Kampung di sini.

ARTIKEL YANG SAMA