Muslimah KHEU bertadarus

Muslimah KHEU bertadarus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi, telah mengadakan Majlis Tadarus bagi pegawai dan kakitangan wanita kementerian berkenaan yang berlangsung di Masjid Kampung Limau Manis.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Jamaiah binti Haji Abdul Manap.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan, KHEU, Hajah Aminah binti Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof. Kemudian, majlis diteruskan dengan Tadarus dan diikuti dengan bacaan Tahlil dan doa arwah yang dipimpin oleh Nazir Sekolah-Sekolah Ugama di Jabatan Pengajian Islam, Hajah Jamilah binti Haji Abdul Manaf.

Majlis turut diserikan dengan Ceramah Ramadan bertajuk ‘Puasa Menjana Sifat Taqwa’ yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan merangkap Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Hajah Zaleha binti Haji Ibrahim.

Dalam ceramah itu, beliau antara lain menggariskan beberapa proses penyucian hati melalui puasa untuk memupuk sifat taqwa, serta bagaimana untuk merebut peluang meningkatkan ibadah dan ketaatan kepada Allah di bulan Ramadan.

Antara pegawai dan kakitangan KHEU yang hadir di majlis tadarus berkenaan.
Antara pegawai dan kakitangan KHEU yang hadir di majlis tadarus berkenaan.

Majlis diselajurkan dengan penyampaian sumbangan daripada warga KHEU kepada Masjid Kampung Limau Manis.

Menurut kenyataan KHEU, majlis ini merupakan salah satu projek tahunan kementerian yang merupakan tahun ke-8 diadakan dan turut disertai oleh kumpulan-kumpulan Muslimah masjid.

Ia antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian dengan kumpulan-kumpulan Muslimah masjid.

Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha untuk memakmurkan masjid dan bersama-sama meningkatkan amal ibadah dalam bulan Ramadan.

ARTIKEL YANG SAMA