Muslimah Masjid bedudun ke Daerah Tutong

Muslimah Masjid bedudun ke Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 5 Nov – Rombongan kira-kira 20 peserta Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong yang diketuai Penolong Ketuanya, Hajah Halimah binti Abdullah telah mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat-tempat menarik di Daerah Tutong, hari ini.

Ketibaan rombongan dialu-alukan Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, Pegawai Tugas-tugas Khas, Siti Joriahati binti Johari yang juga merupakan Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong; Ketua Eksekutif Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali, dan beberapa pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong.

Dalam lawatan berkenaan, rombongan dibawa meninjau ke Kompleks Pasarneka dan Tamu Serambangun Tutong yang sememangnya terkenal dengan kunjungan orang ramai dalam dan luar daerah dan sangat popular setiap Khamis kerana kemeriahan suasana tamu yang popular menjual barangan mentah, buah-buahan di samping sayur-sayuran yang segar.

Rombongan seterusnya dibawa ke Taman Rekreasi Sungai Basong yang pada masa ini sedang dinaiktaraf dan dimajukan sebagai tempat lawatan khususnya melalui Rumah-rumah Warisan Etnik Tutong bertepatan dengan Program Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong yang telah dilancarkan pada 2 November lalu bagi tempoh sebulan.

Rombongan Muslimah Masjid bergambar ramai di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Rombongan Muslimah Masjid bergambar ramai di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Sebilangan rombongan yang turut berkesempatan membeli buah tangan di Kompleks Pasarneka dan Tamu Serambangun Tutong.
Sebilangan rombongan yang turut berkesempatan membeli buah tangan di Kompleks Pasarneka dan Tamu Serambangun Tutong.
Beberapa orang Muslimah Masjid yang tertarik dengan jualan produk di Galeri 1K1P.
Beberapa orang Muslimah Masjid yang tertarik dengan jualan produk di Galeri 1K1P.

Galeri 1K1P (Satu Kampung Satu Produk) Jabatan Daerah Tutong juga menjadi tumpuan rombongan berkenaan yang menyaksikan pameran dan jualan produk-produk kampung yang dihasilkan sendiri oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong.

Lawatan rombongan kemudian diakhiri di tempat pemprosesan minyak kelapa dara yang diusahakan oleh Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, salah seorang pengusaha tempatan Minyak Kelapa Dara Majlis Perundingan Kampung Tanjong Maya, Tutong.

Di sana, rombongan juga diberi taklimat ringkas dan tunjuk ajar demonstrasi pembuatan Minyak Kelapa Dara (VCO) selain berpeluang membeli produk minyak gaharu yang juga terdapat di rumah pengusaha berkenaan.

Tujuan lawatan tersebut adalah bagi mengenali lebih dekat lagi akan kemajuan Daerah Tutong menerusi aktiviti-aktiviti yang terdapat di daerah ini, terutama apabila ia mula dikatakan sebagai Daerah Destinasi yang unik, indah dan menarik bagi para pelancong dan pelawat yang menawarkan pelbagai produk tradisi kampung dengan mengetengahkan tempat menarik dan sesuai untuk kunjungan semua lapisan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA