Muslimah Masjid Kg Pandan pelajari dikir lama

Muslimah Masjid Kg Pandan pelajari dikir lama

KUALA BELAIT, 24 Mei – Seramai 30 orang Muslimah Masjid Kampung Pandan, kelmarin, telah mengikuti Kelas Bimbingan Dikir yang diadakan di masjid berkenaan.

Kelas bimbingan yang diketuai oleh Hajah Khamsiah binti Mohd Husin itu dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Morney bin Amat.

Ia antara lain bertujuan bagi mempelajari dan menghalusi dikir-dikir lama Brunei, yang mana ahli-ahli kumpulan ini merangkumi pesara dan suri rumah dalam lingkungan umur 40 ke 50 tahun.

Menurut Awang Morney, antara dikir-dikir lama Brunei yang diajarnya adalah Khairuman Tiga Serangkai, Khairuman Badar dan Khairuman Sajak.

Antara Muslimah yang mengikuti kelas bimbingan berkenaan bersama Awang Morney.
Antara Muslimah yang mengikuti kelas bimbingan berkenaan bersama Awang Morney.

Kumpulan Muslimah masjid berkenaan aktif dipelawa untuk berdikir di majlis-majlis keagamaan dan keramaian, serta sering mengikuti majlis-majlis kahwin dan juga pernah menyertai peraduan dikir di Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Menurut ketua kumpulan berkenaan, selain daripada aktiviti berdikir mereka juga mengadakan kelas bacaan Al-Quran, Muqaddam, tahlil dan sebagainya bagi para wanita yang tinggal di sekitar RPN Kampung Pandan, Kuala Belait sebagai salah satu aktiviti keramaian dan riadah bagi pesara dan suri rumah tangga.

Kumpulan ini juga mengalu-alukan penyertaan bagi mana-mana wanita yang ingin menyertai kumpulan mereka.