Muslimah SOAS lawat Daerah Tutong

Muslimah SOAS lawat Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 7 Mac – Seramai 40 orang ahli Muslimah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) pagi tadi telah mengadakan lawatan ke Daerah Tutong yang diketuai oleh Tenaga Pembimbing Muslimah Masjid SOAS, Hajah Laki binti Haji Ibrahim.

Rombongan tersebut telah memilih salah sebuah pakej lawatan ke Daerah Tutong yang ditawarkan melalui Program Destinasi Tutong iaitu Pakej Lawatan Islam ke Daerah Tutong.

Ketibaan rombongan ke Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang Tutong telah dialu-alukan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mahri bin Haji Metussin; Penghulu Mukim Kiudang, Awang Abdul Rahim bin Abdullah Yakin dan Ketua Kampung Kiudang, Awang Muhammad Saiful bin Abdullah Anja serta ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel.

Lawatan dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai penubuhan dan aktiviti masjid yang telah disampaikan oleh Haji Mahri dan diikuti dengan persembahan keagamaan muslimah oleh Ahli Muslimah Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel.

Rombongan seterusnya dibawa menyaksikan pameran yang terdapat di masjid berkenaan.

Rombongan Muslimah Masjid SOAS Bandar Seri Begawan berkesempatan melawat galeri dan pameran di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.
Rombongan Muslimah Masjid SOAS Bandar Seri Begawan berkesempatan melawat galeri dan pameran di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.

Mereka kemudian melawat ke tempat pemprosesan Teh Herba 3MPK dan Madu Kelulut Kampung Kiudang. Lawatan itu diisi dengan penerangan ringkas mengenai perusahaan Teh Herba 3MPK dan Madu Kelulut yang disampaikan oleh ahli Majlis Perundingan Kampung Kiudang Haji Amran bin Haji Johari. Mereka juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi pemprosesan produk Teh Herba 3MPK Kampung Kiudang.

Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke Gerai Muafakat Kampung Kiudang bagi menyaksikan pameran dan jualan produk kampung dan lawatan berakhir di Galeri Ariffin Kampung Kiudang bagi menyaksikan koleksi peribadi barang antik, alat-alat muzik tradisional dan sebagainya yang dipamerkan di galeri tersebut.

Turut hadir ialah Pegawai Tugas-tugas Khas selaku Ketua Bahagian Korporat Jabatan Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari beserta beberapa orang kakitangan Bahagian Korporat dan Ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan, Daerah Tutong

Lawatan tersebut adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim kedua-dua belah pihak dan merupakan usaha untuk menarik minat rombongan muslimah tersebut bagi mengikuti aktiviti takmir masjid yang dijalankan di masjid-masjid di daerah ini khususnya di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, yang telah dipilih sebagai destinasi lawatan rombongan muslimah tersebut.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat serta bagi menimba ilmu pengetahuan dalam bidang perusahaan Satu Kampung Satu Produk Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA