Musnahkan rampasan dadah AS$244.65 juta

Musnahkan rampasan dadah AS$244.65 juta

NAY PYI TAW, Myanmar, 28 Jun (Agensi) – Pihak berkuasa Myanmar membakar dadah narkotik bernilai AS$244.65 juta di tiga bandar utama, Yangon, Mandalay dan Taunggyi baru-baru ini untuk menandakan Hari Antarabangsa Memerangi Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah.

Dadah tersebut termasuk 1,250.24 kilogram candu, 516.92 kilogram heroin, serta pelbagai jenis dadah lain.

Ini adalah kali ke-28 acara tersebut telah diadakan sejak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) menyokong 26 Jun sebagai Hari Antarabangsa Ke Atas Penyalahgunaan dan Penyeludupan Dadah pada 1987.

Acara itu dihadiri oleh Naib Presiden Myanmar, Sai Mauk Kham, Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Penyalahgunaan Dadah dan Menteri Dalam Negeri, Leftenan Jeneral Ko Ko, serta wakil entiti PBB dan Pertubuhan Bukan Kerajaan serta pertubuhan sosial lain.

Menyampaikan ucapan pada acara berkenaan, Sai Mauk Kham berkata campur tangan kerajaan untuk membanteras dadah adalah bergantung pada dua tunggak, iaitu penghapusan bekalan dan penghapusan penawaran.

Myanmar juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Kawalan Narkotik Negara China, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand, Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat dan Polis Persekutuan Australia dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan pembangunan alternatif, kata Sai.

Leftenan Jeneral Ko Ko berkata kerajaan Myanmar telah menyepadukan pembangunan luar bandar dan peningkatan taraf hidup penduduk asli dalam program pembasmian kemiskinan negara di kawasan penanaman candu di mana penduduk terpaksa bergantung pada kegiatan haram dan penanaman candu untuk memenuhi keperluan asas mereka.

Myanmar terkenal sebagai negara penanam popi terbesar di Asia Tenggara dan yang kedua terbesar di dunia selepas Afghanistan.