Mustafi perkasa benteng Arsenal

Mustafi perkasa benteng Arsenal

LONDON, 31 Ogos – Arsenal membeli pemain pertahanan Jerman, Shkodran Mustafi daripada Valencia, umum kelab London itu. The Gunners dilaporkan membayar 35 juta pound untuk mendapatkan pemain itu bagi menguatkan kelemahan pasukan itu.

“Dia pada usia yang sesuai,” kata jurulatih Arsenal, Arsene Wenger mengenai pemain berumur 24 tahun yang juga sebahagian daripada skuad Jerman memenangi Piala Dunia 2014.

“Dia memiliki pengalaman yang bagus,” kata Wenger. “Dia adalah pemain yang sangat fokus dan beraksi baik. Kami sudah mengambil pemain yang bagus tetapi perlu bersedia untuk masa depan.”

Mustafi yang juga warga negara Jerman dan Albania, menghabiskan masa dua tahun di Valencia dengan 81 penampilan, dan bermula sebagai pemain remaja di Everton sebelum dipinjamkan dua musim di Sampdoria, di mana dia bermain 53 perlawanan.

Pertahanan tengah itu tiba di kelab Liga Perdana (PL) Inggeris selepas kecederaan yang dialami seorang lagi pertahanan, Per Mertesacker dan Gabriel dan sudah lama diburu Wenger. – AFP