Musuh gesa singkir Presiden Palestin

Musuh gesa singkir Presiden Palestin

BAITULMAQDIS, 25 Ogos (AFP) – Pesaing terkenal presiden Mahmud Abbas semalam menggesa bagi penyingkiran pemimpin veteran berkenaan tatkala warga Palestin berusaha menganjurkan kongres bagi kali pertama dalam tempoh hampir 20 tahun.

Mohammed Dahlan, yang pernah menjadi pemimpin dalam pertubuhan Fatah pimpinan Abbas tetapi kini hidup dalam buangan di Dubai, menulis di laman Facebooknya untuk mengkritik presiden Palestin tersebut.

Ulasannya dibuat selepas Abbas Sabtu lepas meletak jawatan sebagai ketua Jawatankuasa Eksekutif PLO dalam bidaan untuk memaksa pemilihan baru bagi badan tertinggi berkenaan.

Peletakan jawatannya bersama-sama lebih separuh dari 18 anggota jawatankuasa akan hanya berkuat kuasa pada mesyuarat Majlis Kebangsaan Palestin (PNC).

PNC adalah kongres 740 anggota yang mewakili mereka tinggal di wilayah Palestin dan kawasan sekitarnya. Ia tidak mengadakan mesyuarat sejak 1996.

Gambar kombo menunjukkan Mohammed Dahlan (kiri) dan Presiden Palestin Mahmud Abbas.
Gambar kombo menunjukkan Mohammed Dahlan (kiri) dan Presiden Palestin Mahmud Abbas.

Pembangkang melihat langkah oleh Abbas sebagai bermotifkan politik bertujuan memantapkan sekutunya dan melemahkan musuhnya menjelang persaraannya ketika berusia 80 tahun.

Dahlan, bekas orang kuat Fatah di Gaza, bagaimanapun berkata peletakan jawatan Abbas perlu diterima dan kongres akan datang perlu “mengisytiharkan tidak sah semua keputusan oleh Abbas dan sekutunya kerana mereka semua adalah tidak sah.” Ia juga perlu “mengisytiharkan Negara Palestin dan segera memanggil pilihan raya presiden dan perundangan,” katanya.